UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

IHM, UUM dedah konsep halal kepada pelajar Jepun

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Berita dan gambar Mejar Dr. Mohd Adib Abd Muin/UUM Today

SINTOK, 20 Mac – Seramai 24 pelajar Kyoto Sangyo University (KSU), Jepun telah menerima ilmu baru apabila didedahkan dengan kesedaran produk dan perkhidmatan halal sempena Program Musim Panas UUM-KSU 2024 yang bermula pada 17 Februari lalu hingga hingga 10 Mac.

Program kerjasama Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dengan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dan KSU itu menampilkan Felo Bersekutu IHM, Pusat IBS, Mejar Dr. Mohd Adib Abd Muin di Intelligence Idea Room, STML.

Menurutnya, pendedahan berkaitan dengan konsep dan penggunaan logo halal Malaysia telah diterima dengan baik oleh kesemua pelajar KSU tersebut dan mereka seronok mempelajari ilmu baharu berkaitan keperluan orang Islam mengutamakan produk dan perkhidmatan halal dalam kehidupan seharian.

Katanya, malah ada dalam kalangan mereka yang tahu bahawa perkara berkaitan dengan halal ini akan memberikan kebaikan dan faedah yang terbanyak buat sesiapa yang utamakan produk dan perkhidmatan halal.

“Menerusi slot khas ini, pelajar telah dimaklumkan bahawa orang Islam wajib mencari yang halal kerana ia satu kefarduan, malah konsep halal ini tidak terhad kepada orang Islam sahaja malah orang bukan Islam juga turut mendapat kebaikan dan manfaat apabila menggunakannya.

“Walaupun mereka baru sahaja mempelajari konsep halal dalam tempoh yang singkat, akan tetapi sudah mampu menghasilkan logo dengan baik. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa mereka sebenarnya sangat faham, berminat dan rasa teruja untuk mendalami ilmu halal secara serius. Di akhir slot, pelajar perlu melakarkan logo halal Malaysia bagi menguji kefahaman mereka,” katanya.

Di samping itu, banyak persoalan yang diajukan oleh pelajar berkenaan tentang pengharaman najis mughallazah seperti anjing dan babi dalam setiap perkara terutama melibatkan sumber makanan.

Semoga usaha yang dibuat ini memberikan faedah dan pengalaman manis buat semua yang terlibat.