UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Iktiraf pelajar cemerlang dalam persiap bakal guru berteladan baik

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK: Pengiktirafan kepala pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum amat penting dalam membentuk dan mempersiap graduan ke alam pekerjaan.

Sehubungan itu, Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) telah mengadakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE) bagi meraikan 153 pelajar PGDE yang memperoleh markah purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.90 dan ke atas pada semester akademik A221.

Penolong Naib Canselor, UUM CAS, Prof. Madya Dr. Mazni Omar berkata, untuk menjadi pendidik profesional lagi berkaliber, bakal-bakal guru haruslah menjadi graduan yang berpengetahuan luas, berempati, berkemahiran tinggi, berfikiran kreatif dan inovatif, lagi proaktif.

Menurutnya, berbekalkan ilmu dan keperibadian yang cemerlang, graduan diharapkan dapat membuat pertimbangan secara berhikmah dalam membezakan yang benar (haq) dari yang salah (batil), yang baik dari yang buruk dalam usaha melahirkan anak-anak generasi masa depan yang baik lagi cerdik (ABC).

Mazni harap graduan PGDE lebih berdaya saing dan kompeten dalam memajukan ekosistem pendidikan negara pada masa hadapan. Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

Kata beliau lagi, seorang pendidik mesti sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan agar kualiti pendidikan negara setanding dengan kualiti pendidikan negara-negara maju.

“Dengan lambakan graduan lepasan Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE) dari pelbagai universiti, pelajar semestinya memiliki suatu nilai tambah yang mampu membezakan kualiti dirinya dengan pelajar yang lain.

“Saya berharap graduan lebih berdaya saing dan kompeten berbanding graduan-graduan dari universiti lain dalam profesion keguruan dan dalam memajukan ekosistem pendidikan negara pada masa hadapan,” katanya.

Mazni ketika merasmikan gimik Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE) di EDC UUM. Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

Tambah Mazni, komitmen pelajar terhadap kecemerlangan akademik, pembangunan diri dan kerjaya serta sumbangan kepada masyarakat telah menjadi inspirasi kepada semua warga UUM.

Di samping itu, usaha dan komitmen warga Pusat Pengajian Pendidikan, khususnya pensyarah-pensyarah PGDE yang telah bertungkus lumus dalam memastikan kejayaan pelajar kita amatlah dihargai universiti. Dedikasi mereka dalam mendidik, memudah cara dan sebagai mentor adalah penting untuk kejayaan UUM.

Pada majlis sama turut diberikan penghargaan kepada 66 pelajar PGDE yang melibatkan diri secara aktif sebagai ahli jawatankuasa dalam program-program khas PGDE iaitu Program Adiwiraku: Inspirasi dan Aspirasi daripada Guru Cemerlang Kedah, Program Seronoknya Membaca 1.0, Program ICT EduSkill dan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar Program PGDE.

Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE) bagi meraikan 153 pelajar PGDE yang cemerlang pada semester akademik A221. Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

Untuk rekod, nilai min CGPA keseluruhan pelajar PGDE adalah 3.86. Sebanyak 158 daripada 377 pelajar iaitu 46.7 peratus berjaya mencapai purata gred melebihi 3.90 dan ke atas.

Hadir sama, Dekan SOE, Prof. Dr. Yahya Don, profesor-profesor dari SOE dan Pengerusi Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan, Dr. Nurliyana Bukhari.