UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Ikut Rasulullah tidak sesat selamanya

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

SINTOK: Nabi Muhammad SAW merupakan semulia-mulia makhluk yang paling luas kasih sayangnya, lemah lembut dan sangat indah, sesiapa yang bergaul dan melihat wajahnya pasti bahagia. Segala yang dilakukan baginda bersifat sederhana, membalas kejahatan dengan kebaikan. 

Ustaz Haslin Baharim atau lebih dikenali Ustaz Bollywood semasa memberi ceramah di hadapan warga Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti dan Perhimpunan Bulanan Staf berkata, Rasulullah memiliki akhlak yang sangat mulia jadi sifat baginda perlu dicontohi dan diamalkan dalam kehidupan sebenar untuk berjaya.

Jelasnya, setiap individu perlu menghayati empat sifat terpuji baginda iaitu Siddiq (benar), Amanah, Tabligh (menyampaikan) dan Fathonah (bijak) untuk berjaya di dunia dan akhirat. Seperti firman Allah yang bermaksud:

“Dan tidaklah kami utuskan Engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam”.
Surah Al-Anbiya’ ayat 107

“Gambaran akhlak Rasullullah [dapat dilihat] melalui Anas bin Malik, pembantu baginda yang berkhidmat selama 10 tahun. Ketika Anas yang masih kecil lalai mengerjakan tugasnya, Rasulullah tidak marah malah tersenyum, baginda juga tidak pernah berkata, Uh atau ah, ‘mengapa kau buat begini? Mengapa kau tidak mengerjakannya?’ Paling tidak Rasullullah akan melakukannya sendiri,” ujarnya.

Menjadikan Rasulullah SAW ikutan terbaik adalah tanda sayang kita kepada Baginda. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Imran, ayat 31, “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

“Dengan ikut sunah kita mendapat dua ganjaran iaitu cinta dan keampunan Allah misalnya minum air dengan tangan kanan, membaca bismillah, minum 3 teguk dalam satu nafas, dalam bab minum, kita sudah dapat 3 kali Allah sayang dan 3 kali Allah ampun.

“Orang yang mengamalkan sunah nabi amat sedikit di akhir zaman jadi ikutlah Rasulullah nescaya tidak sesat selamanya malah kita tidak akan berpecah belah selagi berpegang dengan Quran dan sunah. Rasuah berlaku kerana mereka hanya nampak sunah nabi dalam sembahyang tetapi tidak dalam kehidupan seharian.

“Tidak lurus iman seseorang hamba sehingga hatinya menjadi baik tetapi kalau suka memaki orang tanda hati bermasalah, tiada istilah mulut jahat hati baik, dan jangan marah staf di depan orang kerana akan menjatuhkan air mukanya,” nasihatnya lagi. 

Rasulullah juga berpesan agar mendidik anak-anak dengan tiga perkara iaitu cinta kepada nabi, cinta kepada kaum keluarga nabi dan membaca Al-Quran kerana para pembaca Al-Quran itu akan berada di bawah naungan Arasy Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya bersama-sama para nabi dan hamba-Nya yang terpilih.

“Jangan hina nabi, jadikan baginda sebagai panduan dan rujukan, ikut nabi bukan bab sembahyang sahaja tetapi dalam semua sudut kehidupan malah kita tidak akan berpecah belah selagi berpegang dengan Quran dan sunah,” kongsinya.

Selain ceramah, sambutan secara bersemuka ini sarat dengan pengisian antaranya persembahan alunan nasyid oleh Creative Talent Nasyid, Pusat Budaya dan Seni, selawat qasidah pimpinan Dr. Mohamad Fitri Mohamad Haris dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) di samping selawat beramai-ramai untuk menzahirkan rasa syukur menjadi umat Nabi Muhammad SAW bertepatan dengan tema, “UUM Cinta Rasul”.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dalam ucapannya berharap agar warga universiti sentiasa mengenang perjuangan baginda Rasulullah SAW dałam melalui pelbagai cabaran serta meneladani keperibadian baginda dalam pelbagai aspek kehidupan.

Dalam majlis yang turut dihadiri pelajar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok ini, Naib Canselor turut menyampaikan hadiah kepada Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) yang menjuarai kontinjen terbaik dan Awang Had Salleh Graduate School (AHSGS) yang memenangi sepanduk terbaik.

Tempat kedua dan ketiga bagi kategori kontinjen terbaik dimenangi AHSGS dan Jabatan Pendaftar manakala Jabatan Canselori dan Jabatan Pendaftar memenangi tempat kedua dan ketiga kategori sepanduk terbaik.

Bagi kategori pelajar pula, Inapan Siswa (INASIS) Sime Darby menjuarai kategori kontinjen terbaik dan sepanduk terbaik.

Inasis MAS dan TNB pula masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga kategori kontinjen terbaik sementara Inasis Petronas dan Yayasan Al-bukhary tempat kedua dan ketiga kategori sepanduk terbaik.

Turut hadir di majlis yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah semua Timbalan Naib Canselor dan Pendaftar.