UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Inasis PETRONAS manfaatkan jalinan strategik industri

Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mempererat jalinan industri yang telah terjalin sekian lama dengan pihak syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia, PETRONAS. Bercakap dalam satu majlis Kunjung Hormat oleh Badan Kebajikan Islam PETRONAS (BAKIP) Wilayah Utara ke pejabat Inapan Siswa (Inasis) PETRONAS 12 April lalu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed menyifatkan bahawa jalinan kolaborasi antara Inasis dan industri seperti BAKIP Wilayah Utara merupakan elemen yang mampu mengekalkan sokongan serta keterlihatan Inasis. Menurutnya lagi, program-program susulan perlu dilaksanakan supaya hubungan terebut sentiasa terjalin baik untuk manfaat bersama.

“Ini (kunjung hormat) langkah kerjasama yang baik. Hasil jalinan kerjasama erat ini, saya berharap program-program lanjutan bersama akan diperbanyakkan lagi. Manfaatnya besar bagi kedua-dua pihak.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak BAKIP Wilayah Utara di atas kesudian menaja sumbangan yang begitu bernilai kepada komuniti sekitar UUM,”. Katanya.

Sementara itu, Ahli Pengurusan Kanan PCFKSB, Syaiful Izad Ahmad Sofi berkata, pihaknya melalui BAKIP Wilayah Utara sangat berbesar hati dapat bekerjasama erat dengan Inasis PETRONAS dalam pelbagai perkara khususnya dalam aktiviti pelajar yang melibatkan kerja-kerja tanggungjawab sosial (CSR).

“Kami (BAKIP Wilayah Utara) berbesar hati untuk terus mengadakan kerjasama dengan pihak UUM (Inasis PETRONAS) kerana melihat banyak aktiviti yang boleh dilaksanakan secara bersama khususnya program yang melibatkan komuniti dan masyarakat,” ujarnya selepas mengadakan kunjung hormat.

Menurut Pengetua Inasis PETRONAS, Mohd Fairus Abd Majid berkata, pertemuan tersebut merupakan satu kolaborasi strategik antara Inasis PETRONAS dan BAKIP Wilayah Utara bagi mengeratkan hubungan industri yang sudah dijalin. Katanya, pengisian aktiviti seperti yang dirancang antara Inasis PETRONAS dan BAKIP Wilayah Utara mampu mengukuhkan lagi penggunaan jenama PETRONAS itu sendiri oleh Inasis.

“Dalam pertemuan ini kita (UUM) telah menyatakan hasrat untuk pihak BAKIP Wilayah Utara membuka peluang lebih luas kepada pelajar kita menjalani praktikum di PETRONAS selain menganjurkan program-program berbentuk ceramah kerjaya dan peluang latihan industri.

Kunjung hormat yang berlangsung di Pejabat Inasis PETRONAS itu diadakan bertujuan untuk mengeratkan kerjasama antara kedua pihak melalui pelaksanaan program ‘Sebakul Kasih Ramadan anjuran Biro Kebudayaan dan Kesenian Jawatankuasa Pembangunan Siswa Inasis (JKPS) Inasis PETRONAS. Program yang bakal berlangsung pada 14 hingga 15 April itu bakal memanfaatkan seramai 150 keluarga keluarga asnaf sekitar kawasan Sintok, Changlun dan Jitra dengan agihan 150 unit hamper barangan keperluan asas bernilai RM15 ribu.

Hadir sama dalam kunjung hormat tersebut adalah Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat PCFKSB, Puan Tuan Nor Asma Tuan Hassan, Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Islam Petronas (BAKIP), Zakaria Muain, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Huzaidy Hussain, staf-staf sokongan serta Presiden JKPS Inasis PETRONAS, Mohammad Izwani Md Isa.