UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

INASIS SME Bank juara keseluruhan KASUMA 2023

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Hairul nizam Zahari/UUM Today

SINTOK: Inapan Siswa (INASIS) SME Bank muncul juara keseluruhan Karnival Sukan Mahasiswa (KASUMA) 2023 yang telah berlangsung sejak 7 November lalu dengan kutipan sebanyak 17 pingat.

SME Bank berjaya mengumpul sebanyak lapan pingat emas, empat perak dan lima gangsa yang melayakkan INASIS tersebut membawa pulang Piala Pusingan dan wang tunai RM1,000.

Penyampaian hadiah disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan pada Majlis Perasmian Penutup KASUMA 2023 di Stadium Pusat Sukan pada Selasa.

Dalam ucapan beliau berkata, universiti menjadi platform untuk membentuk dan melahirkan mahasiswa yang holistik dan kompeten secara positif.

Menurutnya, pihak universiti mempercayai proses pembelajaran harus dipelbagaikan dengan memberi penekanan yang sangat besar kepada usaha menggilap potensi dan bakat mahasiswa dalam arena sukan juga, selain menumpukan kepada kecemerlangan akademik.

“Penganjuran karnival sukan seperti ini menunjukkan inisiatif universiti yang mempunyai kepelbagaian terutama dalam membina keterampilan mahasiswa yang holistik dan berdaya saing secara sihat melalui aspek sukan.

“Jadikan pencapaian Siti Shazwana Ajak yang berjaya dalam bidang sukan silat apabila meraih pingat perak dalam Sukan SEA ke-32 di Kemboja dan pingat emas di 7th Asian Pencak Silat Championship 2023 di Dubai untuk menaikkan semangat pelajar, seterusnya dijadikan pendorong kepada pembudayaan dan pembangunan sukan secara menyeluruh kepada mahasiswa UUM,” katanya.

Pemenang hadiah perbarisan terbaik dimenangi INASIS Grantt, diikuti tempat kedua INASIS Bank Muamalat dan tempat ketiga oleh INASIS YAB.

KASUMA merupakan karnival sukan yang diadakan setiap tahun sebagai penekanan kepada pembangunan pelajar dan mencungkil bakat baharu yang berpotensi sebagai pelapis kepada pasukan UUM pada masa hadapan serta boleh mewakili UUM untuk SUKIPT 2024.

Selain itu, KASUMA juga memupuk semangat bersukan dalam kalangan pelajar dan aktif melakukan aktiviti sukan dan riadah di sekitar kampus.

Sebanyak 14 acara sukan dipertandingkan di KASUMA 2023 yang bermula pada 7 November lalu dan berakhir pada 28 November. – Kirti A/P Vithyananthan (Pelajar Pelatih dari SMMTC)