KUALA LUMPUR: Tindakan Indonesia menyekat mana-mana agensi pengambilan pembantu rumah di negara itu jika mengenakan bayaran melebihi RM15,000 disokong Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) dan Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA).
Bayaran itu tertakluk dalam memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia yang ditandatangani April lalu, sekali gus mengelakkan majikan di negara ini turut mengenakan bayaran tinggi.
Presiden PAPA, Datuk Foo Yong Hooi berkata, pihaknya bersetuju Indonesia menyekat agensi yang mengenakan bayaran melebihi RM15,000 kerana jumlah itu sudah terlalu tinggi, selain negara tersebut tidak boleh berat sebelah dan perlu menetapkan bayaran maksimum yang boleh dikenakan ejen kepada agensi pekerjaan di negara ini.
Menurutnya, sebelum ini ada ejen mengenakan jumlah hingga RM12,000 dan jumlah itu sudah terlalu tinggi dan apabila agensi mencari pekerja perlu membayar apa yang tertakluk dalam MoU, hanya boleh akur walaupun ada unsur berat sebelah.

“Jadi wajar kedua-dua negara tentukan berapa jumlah tepat agensi negara sumber itu caj dan berapa yang kita perlu bayar kerana selepas mengambil pembantu rumah itu, kita di Malaysia perlu ‘menanggung’ mereka sehingga dua tahun.
“Ini belum kemungkinan berdepan situasi orang gaji lari dan jika ejen tidak membayar ganti rugi, agensi pekerjaan yang perlu tanggung. Jadi, paling mustahak kita sokong RM15,000 dan Indonesia perlu menetapkan caj di negaranya kerana misalnya wilayah Nusa Tenggara Timur yang kos pengambilannya sangat tinggi,” katanya, semalam.
Yong Hooi berkata, kedua negara perlu mencari penyelesaian ‘situasi menang-menang’ berikutan agensi pekerjaan di negara initurut menanggung lebih banyak kos bergantung kepada ejen Indonesia tetapkan ke atas mereka.
Kelmarin, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilaporkan berkata, langkah itu dilakukan untuk memastikan semua klausa MoU itu dipatuhi pada setiap masa, sekali gus majikan di negara ini tidak akan dikenakan bayaran tinggi.

Ujar beliau, majikan Malaysia bebas mengupah pembantu rumah dari mana-mana negara yang mereka suka tetapi di Indonesia, jika pihaknya dapati mana-mana agensi mengenakan bayaran melebihi RM15,000, ia akan dilarang daripada mengambil pekerja dari Indonesia.
Sementara itu, Presiden MAMA, Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata, majikan sepatutnya didedahkan dengan semua perincian MoU supaya memperoleh maklumat jelas tentang bayaran, klausa dan sebagainya.
“Kita hormati apa yang kedua-dua kerajaan meterai dalam MoU tetapi bayaran RM15,000 sememangnya sangat tinggi, jadi apa yang boleh kerajaan lakukan adalah membenarkan lebih banyak negara sumber lain.
“Kita tidak boleh bergantung kepada Indonesia dan memperbanyakkan lagi negara sumber lain. Tidak boleh timbulkan isu agama (pekerja Muslim dari Indonesia) kerana jika bukan Islam sekali pun, mereka tetap boleh bekerja,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga seharusnya membenarkan kemasukan pekerja dari Kemboja, Myanmar dan juga menggunakan tenaga kerja pelarian kerana skop kerja mereka di dalam rumah dan bukan premis luar seperti ladang, kilang serta lain-lain.
Malah, kata Engku Ahmad Fauzi, dengan membenarkan negara sumber selain Indonesia, ia akan mengekang kebarangkalian pembantu rumah lari dari rumah majikan kerana faktor negara asal yang jauh dan mereka tidak mempunyai ramai kenalan.
“Pada masa sama, pihak kedutaan dan kerajaan perlu meningkatkan mekanisme serta ‘joint control’ untuk mengelak amah daripada lari kerana hanya dua faktor menyebabkan mereka melarikan diri iaitu sebab mereka ingin lari dan kedua, mungkin didera majikan.
“Kedutaan dan pihak berkaitan perlu mengadakan rundingan untuk memantau perkembangan pekerjaan asing dan terus proaktif menangani isu ini,” katanya.