Gambar SEFB/UUM Today
SINTOK: Bagi meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan murid sekolah, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) telah melaksanakan Program SULAM bagi kursus BEES3053 Isu-Isu Ekonomi Semasa di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Tangga, baru-baru ini.
Program SULAM ini melibatkan 120 pelajar Program Sarjana Muda Ekonomi yang telah menjalankan aktiviti ceramah, permainan dan sesi pembukaan akaun simpanan bersama Bank Simpanan Nasional.
Pensyarah kursus BEES3053, Mejar Norzilah Aziz berkata, sejajar dengan agenda merakyatkan universiti, maka program ini telah dirancang dalam bentuk aktiviti yang dapat memberi impak kepada komuniti, antaranya sesi ceramah yang bertujuan menerapkan sikap suka menabung dalam kalangan murid Tahun 1 hingga 6. Manakala aktiviti bersama murid dilaksanakan secara berkumpulan dalam bilik darjah.
Menurutnya, Ceramah Kesedaran Celik Kewangan telah disampaikan oleh wakil BSN iaitu Khor Poh Sing dan dibantu oleh Shafinaz Shafie dan Mawar Anita.

Selain program bersama murid, pihak BSN juga telah menyampaikan taklimat kepada guru-guru SK Felda Bukit Tangga tentang produk kewangan yang disediakan BSN seperti pinjaman dan Sijil Simpanan Premium (SSP).
“Kesedaran Celik Kewangan perlu diterap sejak kecil lagi. Program ini diharap dapat memberi kesedaran kepada murid sekolah tentang kepentingan menabung dan menguruskan wang dengan baik.
“Inisiatif SULAM SEFB ini akan diteruskan lagi pada Julai nanti dan diharapkan dapat diteruskan pada semester-semester akan datang,” katanya.
Pada akhir sesi program, pembukaan akaun simpanan telah mendapat sambutan yang memberansangkan dan hadiah kepada pemenang simpanan terbanyak ditaja oleh BSN dan SEFB UUM.
Hadiah telah disampaikan oleh wakil BSN, Khor Poh Sing dan Guru Besar SK Felda Bukit Tangga, Ku Yazid Ku Osman kepada murid-murid terlibat. – Hasliza Hassan