UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

InnoCoL.eD latih kepimpinan Pegawai Pemindahan Teknologi Universiti Awam dan Swasta

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar ICC/UUM Today

GELUGOR: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah bekerjasama menganjurkan Program Kepimpinan Inovasi dan Pengkomersialan Harta Intelek Lanjutan (InnoCoL.eD) selama tiga hari di USM.

Program InnoCoL.eD yang dinaungi oleh Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyaksikan seramai 39 Pegawai Pemindahan Teknologi (TTO) dan penyelidik daripada 20 universiti awam dan swasta berkumpul dan menganalisis cabaran dan strategi ekosistem harta intelek dan pengkomersialan oleh universiti.

Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Kepimpinan, AKEPT, Prof. Madya Dr. Azila Ahmad Sarkawi menyifatkan program InnoCoL.eD sebagai satu wadah yang sangat penting dalam membincangkan isu-isu dan perkara berbangkit berkaitan inovasi dan pengkomersialan melibatkan universiti.

Menurut beliau, sebarang resolusi yang dikupas dan dicapai melalui InnoCoL.eD boleh diangkat ke peringkat yang lebih tinggi dalam usaha memperkasakan agenda inovasi dan pengkomersialan negara.

“Tahniah kepada ICC UUM dan CIC USM kerana menganjurkan program seumpama ini, saya yakin hasil dari pertemuan ini akan membuahkan resolusi yang mantap dan memberikan manfaat kepada ekosistem inovasi dan pengkomersialan negara,” katanya.

Pada hari pertama, peserta mengikuti lawatan dan program kepimpinan ke Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), USM yang diketuai oleh Pengarah CEMACS, Prof. Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai, diikuti pada sesi sebelah petang diteruskan dengan taklimat, perbincangan dan pembentangan dalam kumpulan yang dibimbing oleh Prof. Azrai Shuib, fasilitator program dan juga profesor adjung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Hari kedua, kesemua peserta InnoCoL.eD telah turut serta dalam Bengkel Inovasi anjuran CIC USM, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM dan ICC UUM dengan kerjasama Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) di Pusat Budaya, USM yang menampilkan ramai pembentang dalam bidang masing-masing, antaranya Prof. Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamad Adikan, Mohd. Izzat Mohd Fadzil (MRANTI), Zusuff Kan Zainal Kan (Startlah Innovation PLT), Prof. Ir Dr. Srimala a/p Sreekantan (CIC USM) dan Amirah Shaari (Perbadanan Harta Intelek Malaysia – MyIPO).

Pada hari terakhir program, peserta InnoCoL.eD telah mengikuti program Supercharger Zon Utara anjuran MRANTI dengan kerjasama CIC USM. Pelbagai aktiviti telah diatur dalam program sehari ini di Science and Arts Innovation Space (SAINS@USM) dan beberapa slot khusus telah disediakan untuk peserta InnoCoL.eD bagi membincangkan perkara-perkara penting berkenaan inovasi dan pengkomersialan, pemindahan teknologi dan perkara berkaitan lain.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Russayani Ismail turut hadir memberikan sokongan kepada program InnoCoL.eD dan juga kepada penyelidik UUM yang membuka pameran produk masing-masing, antaranya Cyntok Bhatik, Intelligent University Expert Explorer (IU2E) dan PadiMAS.

Prof. Dr. Russayani mengucapkan syabas dan tahniah kepada keseluruhan sekretariat InnoCoL.eD yang diketuai oleh Pengarah ICC, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Faizal Omar.

Program InnoCoL.eD adalah lanjutan kepada tiga siri program anjuran ICC UUM sebelum ini, iaitu Siri 1 yang diadakan di EDC UUM pada 7-9 Februari 2023, Siri 2 di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar pada 6-8 Mac 2023 dan Siri 3 di Imperial Hotel, Kuching, Sarawak pada 23-25 Mei 2023. – Mohd Afnan Abdul Khoni