UUM Today

Menu Close

Inovasi cassia grandis hasilkan bronis lazat

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

SINTOK: Kehijauan dan bukit-bukau yang berbalam sayup mata memandang memberi panorama mendamaikan, sebaik sahaja memasuki gerbang Universiti Utara Malaysia (UUM), Cassia Grandis dengan bunga merah jambu seolah-olah tersenyum menyambut ketibaan. 

Cassia Grandis banyak terdapat di UUM dan tumbuh di pinggir hutan serta di tepi jalan dan buahnya yang berguguran dibiarkan begitu sahaja. Cassia Grandis dari keluarga Fabaceae, pohonnya besar rendang dengan kanopi berbentuk payung, buahnya terbentuk daripada pistil bunga selepas kembang yang bermula dari juntaian halus seperti tali berwarna hijau di bawah dedaun.

Apabila masak buah menjadi coklat dan mengering seperti kayu berbentuk silinder panjang dan di dalamnya terdapat biji leper yang dipisahkan oleh petak serta mengeluarkan bau yang kurang enak.

Cassia Grandis dikategorikan sebagai buah-buahan bermusim iaitu di antara bulan Ogos hingga Oktober. Di Malaysia, pokok Cassia Grandis umumnya digunakan sebagai pokok hiasan dan landskap.

Dari segi perubatan, Cassia Grandis dikatakan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit termasuklah darah tinggi dan kencing manis, cecair antiseptik boleh diperoleh daripada akar dan daunnya manakala bunganya banyak digunakan dalam perubatan tradisional. 

Mungkin ramai yang tidak tahu apakah Cassia Grandis tetapi jika sebut sahaja Kote Mamak pasti ramai yang kenal. Walaupun namanya dalam kalangan masyarakat tempatan agak kurang manis namun khasiatnya amat hebat. Lebih menarik, boleh dijadikan bronis yang lazat!

Buktinya, Cassia Grandis Brownies hasil produk inovasi Cassia Grandis powder memenangi ‘Certificate of Excellence Gold Award’ dalam ‘Kedah International Culinary Innovation Competition KEDIEC 2021’.

Inilah hasil kreativiti sepasukan penyelidik Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) UUM yang terdiri daripada Norhafizi Nordin, Umme Umaimah Amin dan Siti Aminah Hasbullah menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan produk inovasi berasaskan biji buah Cassia Grandis. 

Siti Aminah berkata, masyarakat mengunakan buah Cassia Grandis ini sebagai manisan yang dimakan bersama pulut lemak kerana rasa manis serta masam dari buah ini.

“Rasa manis dari isi buah ini dijadikan sajian bersama pulut oleh masyarakat dulu-dulu, bijinya juga mempunyai aroma yang unik seperti bau kekacang dan amat sesuai digunakan dalam manisan terutamanya berasaskan coklat.

“Namun begitu, penggunaan buah ini dalam bidang kulinari secara komersial masih terhad dan tidak banyak penyelidikan serta pembangunan mengenai khasiat buah ini dijalankan,” ujarnya.

Melihat kepada gaya hidup moden kini, tambahnya, pola pemakanan semakin berubah dan makanan yang tidak sihat dan manis semakin menarik selera rakyat Malaysia. Tren makanan manis seperti fenomena bubble tea, frozen yogurt, bingsu, kopi jalanan dan manisan berasaskan coklat semakin menjadi buruan ramai. Gaya pemakanan yang tidak sihat ini mengundang pelbagai masalah kesihatan terutamanya obesiti dan diabetis.

Oleh itu, inisiatif penghasilan produk Serbuk Cassia Grandis berasaskan biji Cassia Grandis mampu memberi faedah kepada pengguna selain penduduk dalam menambah rangkaian produk mereka seterusnya menjadikan serbuk ini sebagai salah satu produk IKS yang boleh dikomersialkan.

Bagi Norhafizi, Serbuk Cassia Grandis merupakan projek inovasi dan penggunaan serbuk ini dalam pembuatan manisan bronis ternyata memberi kelainan dan keenakan yang tersendiri.

Jelasnya, inovasi ini menggunakan Serbuk Cassia Grandis sebagai salah satu bahan utama dalam pembuatan bronis bagi menambahkan nutrisi serta memberikan aroma serta rasa yang unik kepada manisan ini.

“Saya suka mencuba sesuatu yang baharu, dań segar, memang seronok tengok brownies sedap, mewah coklat, harum, tesktur lembut, kenyal, berkedut-kedut  dan berkhasiat yang memikat selera.  

“Idea penghasilan Serbuk Cassia Grandis bermula ketika saya sedang joging di sekitar kampus, saya melihat banyak buah  ini gugur di tepi jalan dan memburuk begitu sahaja dan tertarik dengan keunikan buah ini untuk dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kemudian saya buat carian secara online rupa-rupanya sudah ada beberapa kajian tentang khasiat terutamanya dalam bidang perubatan membantu melegakan penyakit anemia dan menambah zat besi dalam darah,” ujarnya.

Menurutnya, kajian mengesahkan potensi biji buah Cassia Grandis berikutan komposisi nutrisinya yang mengandungi kandungan zat besi yang baik, kehadiran saponin, porfirin, flavonoid, tanin, fenol, minyak pati dan keupayaan antioksidan yang tinggi.

Nutrisi ini bermanfaat bagi mengurangkan masalah pencernaan dan kencing manis. Kajian juga turut membuktikan biji Cassia Grandis berpotensi digunakan sebagai antidiabetes di mana pulpa dari buah ini menunjukkan penurunan kadar glukosa darah.