UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Inovasi perangkap Siput Gondang bantu petani

AYER HITAM: Kemerebakan perosak invasif siput gondang dan peningkatan kadar penggunaan racun perosak dalam kalangan pengusaha tanaman padi mendorong tercetusnya idea inovasi Perangkap Siput Gondang yang dinamakan SGgold.

SGgold berfungsi memerangkap siput gondang dalam petak sawah padi dengan menarik siput gondang memasuki perangkap melalui lubang yang disediakan.

Siput gondang tertarik memasuki perangkap itu apabila terdapat umpan seperti nangka sebagai bahan tarikan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Kuasa Usaha Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Negeri Johor,  Zaiti Akmal Dahlan berkata inovasi ini mampu  membantu mengurangkan penggunaan racun di sawah padi dan menjamin keselamatan makanan.

Katanya, penggunaan SGgold boleh meningkatkan kualiti alam sekitar, serta terbukti boleh menjimatkan kos masa, tenaga kerja dan kawalan perosak.

Beliau berkata, inovasi ini telah berjaya mendapat johan di peringkat kebangsaan di Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Pertanian tahun 2022 selain diiktiraf di  peringkat antarabangsa  apabila memperoleh pingat Perak di Pertandingan Seoul International Invention Fair (SIIF) pada November 2022.

“Setakat ini,  inovasi ini telah mendapat permintaan yang tinggi dan telah diaplikasikan di beberapa negeri seperti Johor, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan dan Perlis”, katanya.

Siput Gondang merupakan perosak kuarantin telah diwartakan di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976. Ia berasal dari kawasan paya dan sungai di Argentina dan Amerika Selatan.

Perosak utama tanaman padi ini mudah membiak dan menyerang anak pokok padi dengan hanya lapan ekor pembunuh senyap ini mampu memusnahkan tanaman padi seluas 1 meter persegi dalam tempoh 24 jam sahaja.