UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Institusi Ramadan dan transformasi kepimpinan berlandaskan S.A.F.T

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin/UUM Today

SINTOK, 20 Mac – Ramadan merupakan institusi latihan transformasi diri untuk menerapkan nilai murni dalam aspek kepimpinan untuk dicontohi oleh anggota masyarakat.

Pensyarah Universiti Teknologi MARA Shah Alam, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Nor Mamat atau lebih dikenali Ustaz Mohd Nor berkata, seluruh umat Islam harus cakna tentang signifikan bulan Ramadan untuk melahirkan pemimpin yang bertaqwa, melatih nilai kepemimpinan, meningkatkan kompetensi hati pemimpin, membentuk pemimpin berperibadi zuhud dan membina akhlak pemimpin mulia.

Menurutnya, “Sesungguhnya al-imam (khalifah) itu (laksana) perisai, dimana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan)nya. Jika seorang imam (Khalifah) memerintahkan supaya takwa kepada Allah ’azza wajalla dan berlaku adil, maka dia (khalifah) mendapatkan pahala kerananya dan jika dia memerintahkan selain itu, maka ia akan mendapatkan seksa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Beliau turut menekankan tentang kepimpinan model Rasullullah SAW iaitu berlandaskan S.A.F.T, iaitu sidq, amanah, fatonah, dan tabligh.

“Sifat sidq yakni dipercayai oleh ahli di bawah kepimpinannya dan sentiasa melakukan perkara yang benar bukannya suka berbohong. Dengan sifat suka berbohong, kepercayaan ahli akan pudar dan boleh membawa kepada ketidakharmonian dalam masyarakat, sedangkan tujuan dilantik pemimpin itu adalah untuk diberi kepercayaan mengurus dan memimpin entiti di bawahnya agar hidup harmoni.

“Seterusnya, amanah bermaksud berakauntabiliti boleh dikaitkan dengan sifat amanah Rasulullah SAW. Apa sahaja tindakan dalam kepimpinannya perlulah bersandarkan kepada hujah yang jelas dan boleh diterima. Akauntabiliti bererti bertanggungjawab terhadap apa sahaja keputusan yang dilaksanakan. Pemimpin yang suka berdalih, menuding jari mencari kesalahan orang lain, mengelak daripada bertanggungjawab terhadap kesilapan yang dilakukan adalah pemimpin yang tidak berintegriti,” katanya.

Tafsiran tabligh dalam konteks kepimpinan lebih dekat sebagai telus dalam kepimpinan. Pemimpin yang tidak menyembunyikan maklumat yang perlu dimaklumkan kepada ahli adalah pemimpin yang telus, mudah difahami oleh rakyat apabila membuat sesuatu keputusan akan lebih dihormati kerana permasalahannya secara telus difahami bersama. Terlalu banyak perkara yang perlu dirahsiakan dalam kepimpinan menyebabkan mudah menimbulkan salah faham, keraguan, prasangka dan pelbagai lagi tindakbalas negatif daripada ahli yang tidak memahami.

Akhirnya, Ustaz Mohd Nor memberi penekanan kepada sifat fatonah. Sifat ini dikaitkan dengan sifat berilmu, bijaksana, profesional dan berhemah. Sifat berilmu dan bijaksana tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada ciri-ciri kepimpinan dalam Islam. Kepimpinan berasaskan ilmu lebih menjurus kepada pengurusan yang profesional dan rasional, berbanding kepimpinan yang berasaskan kepada kuasa ataupun keuntungan diri. Kebijaksanaan baginda terserlah dalam banyak keputusan strategik seperti Perjanjian Hudaibiyyah, isu tawanan Perang Badar dan lain-lain.

Program anjuran Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan program Wacana IPDM siri kedua untuk membincangkan tentang impak bulan Ramadan terhadap keupayaan, kebolehan dan pencapaian pemimpin yang diadakan menerusi Webex, semalam.

Ustaz Mohd Nor merupakan Felo Penyelidik IPDM dan juga pakar motivasi serta hos rancangan Santai Janji Sampai.

Perbincangan terperinci tentang kupasan tajuk institusi Ramadan dan transformasi kepimpinan ini diharap dapat menambahkan ilmu pengetahuan, di samping meningkatkan lagi tahap ketaqwaan kepada Allah SWT.