UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

IPDM santuni pelajar B40 di kawasan pedalaman

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Kuala Nerang – Prihatin dengan nasib murid-murid di kawasan pedalaman yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar B40, Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM) turun padang menyantuni pelajar Sekolah Kebangsaan Perik, baru-baru ini.

Pengarah, IPDM, Prof. Madya Dr. Rohafiz Sabar berkata, pendidikan nadi pembangunan sesebuah negara yang bergerak maju sekiranya rakyat mendapat pendidikan seawal kanak-kanak sehingga ke menara gading kerana mereka inilah yang akan mencorakkan masa depan negara.

“Namun yang menyedihkan Kementerian Pendidikan mengesahkan hampir 30,000 direkodkan tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2022 dan situasi ini amat membimbangkan yang akan menggugat masa depan pelajar dan merugikan negara dalam melahirkan lebih ramai pelapis dan bakat muda.

“Dalam usaha membantu negara melahirkan generasi intelek, IPDM menganjurkan Kursus Kepimpinan Muda untuk pelajar sekolah rendah di daerah Padang Terap bagi membantu pelajar agar mendapat nilai tambah untuk kegunaan mereka pada masa hadapan di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ilmu bermula dari usia muda.

“Program ini dapat membuka minda peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, dalam meneruskan pembelajaran ke menara gading. Pendedahan awal ini dapat sekali gus menarik minat untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Objektif program ini memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan kepimpinan masa depan di samping mempromosikan UUM sebagai tempat menimba ilmu di rimba hijau serta membantu mereka mendapat gambaran awal tentang aktiviti pembelajaran di UUM.

Kursus Kepimpinan Muda kepada Ketua/Penolong bagi Ketua Pegawas, Ketua Kelas, Ketua Pusat Sumber, Ketua Persatuan dan pelajar darjah enam melibatkan 70 murid-murid darjah satu hingga enam yang sarat dengan aktiviti berkumpulan, membina pasukan, kemahiran memimpin serta pembentangan.

Majlis turut diserikan dengan program komuniti, pertandingan kuiz, pertandingan mewarna dan melukis potret kemerdekaan dan menyediakan bubur asyura secara bergotong-royong sekali gus menjalin silaturahim.

Usaha ini meningkatkan jaringan kerjasama dengan pihak luar kampus supaya keterlibatan komuniti dapat dipertingkatkan dan lebih banyak program seumpamanya dapat dijalankan.  

Maklumbalas positif yang disampaikan oleh pelajar dan guru sekolah tersebut setelah tamat kursus melalui lisan dan borang soalselidik menaikkan semangat IPDM meneruskan lagi program yang sama ke sekolah yang berada di kawasan pedalaman di mana Sekolah Kebangsaan Kubang Palas, Kuala Nerang menjadi destinasi IPDM seterusnya. 

Hadir sama, Felo Penyelidik, Prof. Madya Dr. Jauriyah Shamsudin, Al-Hanisham Muhd Khalid, Muhammad Ridzuan Bos Abdullah selain Pengerusi PIBG, Guru Besar, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Ahli Jawatankuasa PIBG.