SINTOK: Masalah penginapan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang sebelum ini menjadi isu berjaya diselesaikan sebelum pelajar memulakan pengajian mereka minggu ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan universiti ini, lebih 17,000 pelajar ditempatkan di 15 Inapan Siswa (INASIS) selain penginapan tambahan di kawasan Perumahan Sisiran Naib Canselor UUM, Perumahan Sisiran Sintok UUM, Perumahan Taman Universiti UUM dan rumah-rumah universiti yang ada di dalam kampus UUM.
Urusan penginapan pelajar lama iaitu Semester Kedua dan berikutnya dibuat sebaik sahaja pendaftaran dan penempatan pelajar baharu Semester Pertama Sesi 2022/2023 berjumlah 4,106 orang selesai mendaftar masuk di INASIS yang ditetapkan pada 11 Oktober lalu.
Dengan memberi penempatan kepada kesemua pelajar termasuk pelajar yang kini berada di Semester Kelapan dan berikutnya, jelas menunjukkan pengurusan UUM amat prihatin dan cakna dengan kebajikan dan keselamatan pelajar universiti ini.
Selain itu, UUM juga telah menyediakan penempatan kepada 500 pelajar rayuan yang akan mula mendaftar pada 1 November 2022.