Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today
PUTRAJAYA: “Dalam sistem perkhidmatan awam ini, kita perlu bekerja sebagai satu pasukan, bukan sekadar ‘sila urus’ tetapi tidak tahu bagaimana ia diuruskan,” kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Beliau berkata demikian pada Program Bual Bicara Dinamika Pentadbiran KSN – Pengalaman Mengurus Krisis bersama moderator, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UUM sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Program Sarjana Pengurusan Awam (MPM), semalam.
Beliau berkata, seseorang pemimpin atau ketua perlu sentiasa bersiap sedia dengan pengetahuan terutama ketika berdepan dengan krisis.
Apa yang penting, katanya, setiap organisasi sama ada besar atau kecil perlu ada misi dan visi untuk dicapai dan memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat disempurnakan.

“Justeru, sebagai ketua, pastikan kita bertanggungjawab memainkan peranan sebagai individu yang berkeupayaan menyempurnakan sesuatu tanggungjawab berasaskan visi dan misi.
“Visi dan misi itu mesti jelas di semua peringkat khususnya hingga ke peringkat pelaksana. Pendekatan ini penting untuk memastikan pelaksanaan dasar kerajaan sampai ke peringkat bawahan,” katanya.
Pada bual bicara itu, beliau turut berkongsi pengalaman ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan perubahan tampuk kepimpinan kerajaan yang memerlukan perkhidmatan awam tetap kekal meskipun negara bertukar kerajaan.
Mohd Zuki mengingatkan sebagai penjawat awam kena sentiasa bersedia, tidak cepat melompat (melatah) dan ikut peraturan ditetapkan, barulah kakitangan boleh bekerja dengan tenang.
“Saya sering berpesan kepada semua Ketua-ketua Pengarah mahupun pegawai tinggi agar menjadi lebih kreatif mengikut keperluan semasa.
“Rakyat masih percaya kepada penjawat awam, jadi berilah khidmat sebaik mungkin kerana mereka bergantung kepada perkhidmatan awam,” katanya lagi.

Mengakhiri perkongsian selama sejam itu, Mohd Zuki berkongsi cara menjadi kakitangan awam yang profesional.
“Pertama, buktikan keupayaan diri dalam melakukan tanggungjawab. Kedua, tunjukkan bahawa kita bagus dalam melaksanakan tugas diberi. Dan seterusnya, keikhlasan bekerja,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kehadiran KSN dalam majlis itu memberikan semangat dan inspirasi untuk warga UUM terus aktif bekerja, menyumbangkan bidang kepakaran dimiliki untuk negara.
Menurutnya, sepanjang dua dekad yang lalu, program MPM berjaya melahirkan individu pemimpin menerusi sumbangan luar biasa mereka kepada masyarakat di luar sana.
Katanya lagi, sokongan, bimbingan dan dedikasi semua tenaga pengajar yang tidak berbelah bahagi telah memainkan peranan penting dalam kejayaan program MPM sehingga berjaya melahirkan kira-kira 1,000 graduan sejak program ini diperkenalkan.

“Bagi menyebarluaskan ilmu, UUM telah bersedia dengan platform yang lebih fleksible di mana universiti akan memperkenalkan program MPM ini secara ‘Open and Distance Learning’ atau ODL mulai September 2024.
“Saya yakin, MPM akan terus menawarkan program yang konstruktif, dinamik dan konsisten melengkapkan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran, dan nilai etika yang diperlukan, selari dengan keperluan menghasilkan ‘The Great Leader’ dalam sektor awam,” katanya.
Teks ucapan beliau itu dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar.
Pada sebelah pagi, turut diadakan sesi ‘Public Management Alumni And Sharing Session’ bertajuk ‘MPM: Pathway Towards Upskilling & Reskilling Your Potential’ bersama empat alumni dengan Dekan SOG, Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf bertindak sebagai moderator.
