UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Jadikan ibu bapa contoh terbaik hadapi masa depan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Unit Foto dan Media/UUM Today

SINTOK: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan mengingatkan graduan universiti ini agar mengangkat kejayaan ibu bapa dalam mengharungi masa depan.

Dr. Mohd Foad berkata, kejayaan ibu bapa yang jelas kelihatan pada hari ini bukan datang bergolek.

Menurutnya, mereka telah menghadapi pelbagai kesusahan dan cabaran yang diyakini sebahagian besar kesusahan dan cabaran itu tidak diketahui oleh graduan sendiri.

Dr. Mohd Foad berharap graduan dapat mengenang pengorbanan ibu bapa untuk memastikan anak-anak dapat belajar memenuhi impian masing-masing.

“Angkatlah kejayaan mereka sebagai penanda aras buat graduan merealisasikan apa jua impian pada masa hadapan kerana suatu hari kelak, kamu juga akan bergelar ibu dan bapa.

“Ingatlah setiap saat yang telah berlaku dalam kehidupan para graduan, bermula sejak kecil sehingga kamu semua bakal menggenggam segulung ijazah. Mereka yang bergelar ibu bapa ini sanggup bergolak gadai semata-mata membantu anak-anak belajar memenuhi impian masing-masing,” katanya pada sesi keenam di Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM di Dewan Mu’adzam Shah, pagi ini.

Kata Naib Canselor, jadilah anak yang sentiasa taat kepada ibu bapa dan sentiasa menyumbang kepada orang lain.

Menurutnya, setiap manfaat yang diberikan kepada orang lain pastinya akan dikembalikan kepada graduan kelak seperti kata pepatah, “What you give, you will get back”.

“Teruskan berbudi dan berbakti kepada ibu bapa yang sanggup berkorban apa jua demi kejayaan anda,” katanya.

Graduan UUM perlu jadikan ibu bapa sebagai contoh terbaik untuk harungi masa depan.

Pagi ini, seramai 670 graduan hadir menerima ijazah masing-masing bagi sesi keenam dari lima pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Pusat Pengajian Pengkomputeran dan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial.