UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Jambori sambutan 100 tahun pengakap

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor merasmikan Jambori Sambutan 100 Tahun Pengakap Negeri Kedah dan Persaudaraan Antarabangsa, di Padang Kawad Palapes, Universiti Utara Malaysia.

Beliau berkata, jambori ini menghimpunkan ahli pengakap bagi menambahkan pengalaman, mengeratkan semangat persaudaraan pengakap serta menerapkan pembinaan modal insan gemilang melalui aktiviti perkhemahan selaras dengan aspirasi negara.  

“Saya berharap semua ahli dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di sini dalam menguruskan aktiviti hidup seharian dengan lebih cekap dan efisien termasuk usaha melahirkan generasi pelapis kepemimpinan kepada pengakap yang berkebolehan, berintegriti dan berwibawa.

“Objektif jambori ini mampu membentuk sahsiah dan jati diri ahli pengakap yang unggul dan layak diketengahkan sebagai pemimpin masa depan di samping membina ketahanan mental, fizikal, emosi dan jasmani selari dengan Falsafah Pendidikan Negara dalam melahirkan modal insan kelas pertama yang mendepani cabaran,” ujarnya yang juga Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Kedah.

Katanya, acara ini juga dapat memupuk budaya kepengakapan dan mampu mengurangkan masalah disiplin dan sosial menerusi penerapan amalan disiplin yang baik dan nilai kepimpinan berhemah dalam proses pembinaan identiti negara. 

“Setinggi tahniah kepada Pengakap Kedah atas sambutan ulangtahun ke-100  tentulah pelbagai cabaran ditempuh kerana bukan mudah untuk membina serta memimpin sebuah organisasi walaupun berbeza pandangan tetapi dalam pengakap semuanya dapat duduk sebaris, seia sekata, inilah keistimewaaan pengakap,” ucapnya.

Pada majlis itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menerima Pingat Emas Bintang Peringatan 100 Tahun Pengakap Negeri Kedah.

Seramai 120 sukarelawan UUM membantu melicinkan perjalanan program sekali gus memberi peningkatan dan pemerkasaan pelajar UUM yang melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) bertaraf antarabangsa.

Jambori lima hari itu merupakan suatu perhimpunan besar-besaran ahli pengakap menjalankan aktiviti kepengakapan dan menerima sambutan yang amat menggalakkan dalam acara yang sarat dengan pelbagai pengisian bermanfaat.