UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Jawatan datang dengan pakej: amanah dan tanggungjawab

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok: Kira-kira 200 staf Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai Kursus Penjawat Universiti Utara Malaysia 2024 “Forum Tadbir Urus 2024: Kecemerlangan Budaya Kerja” yang berlangsung di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM, pagi tadi.

Pengerusi Lembaga Pengarah UUM (LPU), Tan Sri Datuk Wira Dr. Mohd Shukor Mahfar berkata, LPU UUM memperkenalkan Dasar Kesesuaian dan Kewajaran (Fit and Proper Policy) dalam pelantikan penjawat utama Universiti.

“Bagi tujuan ini, “penjawat” ertinya staf akademik yang dilantik oleh Naib Canselor sebagai Penolong Naib Canselor, Dekan, Pengarah, Timbalan Dekan, Timbalan Pengarah, Ketua Jabatan, Pengurus serta jawatan lain yang diwujudkan oleh Universiti bagi mengurus tugas pentadbiran dan akademik di Kolej, Pusat Pengajian atau mana-mana Pusat Tanggungjawab lain.

“Ini penting bagi membantu Naib Canselor dan pengurusan UUM menilai siapakah figura yang sesuai dilantik untuk diberi tanggungjawab menggalas amanah Universiti. Kita ingin melihat adakah staf memberi komitmen untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang diberikan,” ujarnya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada staf yang telah dilantik berkuatkuasa 1 Januari 2024 yang membabitkan muka lama dan baharu.

“Jawatan ini datang dengan pakej iaitu amanah dan tanggungjawab di mana pelantikan ini bukan hak staf tapi ‘privilage’ untuk membantu UUM mencapai kejayaan.

“Perlembagaan Universiti memperuntukkan tingkat autoriti terdiri daripada pengurusan tertinggi yang terdiri daripada Lembaga Pengarah Universiti, Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) dan barisan penjawat yang membantu memberi input kepada JPU,” katanya.

Menurutnya, autonomi merujuk kepada kuasa yang diturunkan kepada Universiti Awam (UA) untuk beroperasi dalam ruang lingkup yang ditentukan.

Jelasnya, Lembaga Pengarah Universiti (LPU) berperanan mengelola, membuat dasar dan mengawasi perjalanan universiti. Untuk memudahkan perjalanan pengurusan, LPU bertindak sebagai fasilitator kepada pengurusan.

“Kami di LPU membuat pemantauan terhadap operasi universiti selain boleh melantik atau memberhentikan staf berdasarkan kuasa yang diberikan,” tambahnya.

Selain itu katanya, pemacu UUM adalah perancangan strategik yang menggariskan kelestarian kewangan, pembangunan sumber manusia dan pembangunan fizikal, kecemerlangan akademik, tadbir urus serta keutuhan anak syarikat.

Beliau bertindak sebagai moderator Forum yang dibarisi tiga ahli panel terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah UUM, Zambri Mat, Penasihat Undang-Undang UUM, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed dan Pengarah RMC, Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Khadijah berkata, pelanggaran tadbir urus boleh melibatkan semua golongan staf sama ada akademik mahupun staf pentadbiran. Beliau turut berkongsi beberapa kes mahkamah dan laporan media berkaitan pelanggaran tadbir urus dan tata kelola yang melibatkan staf Universiti.

“Jawatan adalah amanah dan apabila dilantik, berkhidmatlah dengan penuh bermaruah (‘serve your term with dignity’). Menunaikan amanah bermakna melampaui kehendak pematuhan (‘integrity is beyond compliance’) bagi membolehkan penyampaian perkhidmatan dilakukan dengan berkesan. Apabila ingin membuat sesuatu tindakan atau keputusan, semak dan tanya diri kita adakah perkara ini sah dari segi peraturan atau perundangan, adakah ia beretika dan adakah tindakan itu wajar untuk dibuat”.

“Setiap hari bila keluar bekerja, niatkan semoga apa yang kita lakukan menjadi amal jariah sebagai suatu mekanisme kawalan diri sendiri dan sentiasa ingatkan diri kita akan ada pihak yang mengawasi setiap tindakan yang kita lakukan,” pesannya.