UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Jerayawara CDGEC erat hubungan dengan pusat pengajian UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Anis Zulaikha Kamal
Gambar Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan/UUM Today

SINTOK, 29 Februari – Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan jerayawara ‘Career Development and Graduate Employability Centre’ (CDGEC) ke 16 pusat pengajian sepanjang bulan Februari ini.

Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, objektif utama program ini adalah untuk menerangkan dan memberi pendedahan tentang perkhidmatan yang disediakan oleh PPKKG seperti Graduate Employability (GE), Finishing School (FS) dan School of Hard Knocks (SoHK).

Menurutnya, program ini juga dapat membantu dalam menjalinkan program kerjasama yang melibatkan pihak PPKKG dan pusat pengajian bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam memperluaskan potensi graduan bergaji premium selaras dengan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun ini.

Katanya, peratusan GE pada tahun ini telah mencapai sebanyak 93 peratus setakat 21 Februari 2024.

“Selain membincangkan agenda GE, FS dan SoHK, PPKKG dengan kerjasama Microsoft Malaysia pertama kalinya memperkenalkan program pensijilan Microsoft Certification yang melibatkan 500 pelajar yang memberi fokus kepada pelajar-pelajar tahun akhir UUM.

“Saya berharap semua pusat pengajian untuk sama-sama menggalakkan penyertaan pelajar semester 5 ke atas terutamanya pelajar tahun akhir dalam program SoHK di mana ia dapat membantu pelajar dalam menyesuaikan diri mereka sebelum memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Melalui program ini, wakil-wakil dari pusat pengajian berbesar hati dengan lawatan dari PPKKG dan berharap dapat menjalinkan kerjasama yang berpanjangan, di samping merancang program-program yang dapat membantu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) universiti.

Sesi jerayawara ini turut disertai Penyelaras SoHK, Dr. Adilah Azhari; Pegawai Psikologi, Nur Farah Johari dan Penolong Pegawai Tadbir, Anas Lutifi Othman Lutifi serta wakil-wakil daripada pusat pengajian masing-masing.