UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

JKPPsiKUA bincang masalah psikologi dan kaunseling staf UA

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok –  Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Psikologi Dan Kaunseling Universiti Awam Bil 01/2024 selama dua hari di EDC-UUM membincangkan masalah berkaitan psikologi dan kaunseling staf di Universiti Awam (UA). 

Pendaftar, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Psikologi Dan Kaunseling Universiti Awam (JKPPsiKUA), Fazielah Mohamad mengakui masalah kesihatan mental semakin meningkat.

“Setiap hari kita berhadapan dengan fail kesihatan mental dalam pelbagai isu justeru mesyuarat ini sebagai langkah memberikan maklumat dan membincangkan kesejahteraan emosi dan minda kepada peserta. 

“Mesyuarat ini bertujuan membincangkan masalah berkaitan psikologi dan kaunseling staf di UA selain merancang program pembangunan diri kaunselor khususnya berteraskan psikologi dan kaunseling.

“Kita ingin menghasilkan bahan penulisan/ kajian/ inventori psikologi yang boleh menjadi rujukan dan kegunaan untuk pengurusan psikologi dan sumber manusia,” Ucapnya pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Psikologi Dan Kaunseling Universiti Awam Bil 01/2024 selama dua hari di EDC-UUM, semalam.

JKPPsiKUA ditubuhkan pada 23 Disember 2019 bagi mentadbir urus hala tuju kerjaya, perkhidmatan dan latihan Pegawai Psikologi dengan lebih sistematik, efisien dan efektif.

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, Jabatan Sumber Manusia dan Urusetia Universiti Utara Malaysia yang telah menjayakan mesyuarat pada kali ini.

Beliau turut menyatakan keterujaan apabila UUM menyambut ulangtahun ke-40 serta Tahun Melawat UUM. 

Sementara itu, Pendaftar, Jabatan Sumber Manusia, UUM, Ahmad Rasidi Abdullah mengalu-alukan kedatangan peserta yang terdiri di kalangan pegawai psikologi dan kaunselor Universiti Awam (UA)/ Hospital Pengajar (HP) untuk menghadiri mesyuarat selama dua hari.

“Kita berperanan membantu menanam kesedaran dan kesetiaan dalam diri untuk membantu universiti dalam penyediaan modal insan dan kepimpinan masa hadapan,” ujarnya.

Berkongsi amalan di UUM, Jabatan Sumber Manusia mempunyai seorang kaunselor, Dr. Asma Mat yang bertanggungjawab menjaga aspek kesejahteraan psikologi staf khususnya ketika berhadapan situasi kecemasan, trauma dan seumpamanya.

“Terima kasih kerana memilih UUM sebagai tuan rumah, manfaatkan peluang yang ada di sini dengan sebaik-baiknya seterusnya pulang dengan satu azam baharu setelah berbincang sepanjang dua hari di sini,” ujarnya.