Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today
SINTOK: Bagi meringankan kos sara hidup pelajar universiti, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan Jualan Rahmah Siswa Peringkat Kebangsaan di Universiti Utara Malaysia (UUM), petang tadi.
Timbalan Menterinya, Senator Fuziah Salleh berkata, Program Jualan Rahmah Siswa ini bertujuan untuk memberi peluang kepada seluruh warga institusi pengajian tinggi (IPT) supaya dapat membeli barang-barang keperluan asas dan kehendak dengan harga yang mampu milik terutamanya golongan yang terlibat dengan isu harga barang yang meningkat.
Menurutnya, Jualan Rahmah Siswa ini akan dilaksanakan secara terus dari lori atau trak atau kenderaan yang bersesuaian mengikut keperluan pelaksanaan program serta lokasi tanpa perlu penyediaan tapak khas atas berasingan seperti khemah ataupun dewan orang ramai.

Kata beliau, senario ini dilihat memberi banyak manfaat kerana secara tidak langsung ianya mampu memberikan pulangan yang menguntungkan kepada semua pihak, di samping membantu merancakkan lagi sektor ekonomi negara.
“Menerusi Program Jualan Rahmah, peniaga akan menawarkan harga barangan keperluan antara 10 sehingga 30 peratus lebih murah bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat terutama golongan sasar.
“Saya berharap dengan program seperti ini dapat membantu pelajar IPT untuk menampung kos perbelanjaan dalam menempuh tempoh yang mendatang,” katanya yang turut merasmikan Program Advokasi Pengguna Bersama Institusi Pengajian Tinggi di Padang Kawad PALAPES sempena Pesta Konvokesyen Ke-36 UUM.
Di samping pelaksanaan Program Jualan Rahmah Siswa ini, turut diadakan Program Advokasi Pengguna yang akan melibatkan pelajar IPT di seluruh negara dan akan disenaraikan dalam Malaysia Book Of Records sebagai salah satu program advokasi kepenggunaan yang disertai oleh mahasiswa teramai.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak KPDN atas maklum balas positif dan komitmen yang amat tinggi atas pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah yang direncanakan dalam usaha menangani isu kos sara hidup pada hari ini.
Menurutnya, UUM sentiasa cakna dan proaktif dalam menjayakan pelaksanaan inisiatif di bawah Payung Rahmah khususnya Jualan Rahmah Siswa ini.
Dalam konteks ini, kata Dr. Mohd Foad, KPDN telah merangka pelaksanaan Program Payung Rahmah untuk membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan bagi mendapatkan bantuan makanan dan barangan keperluan asas yang dikenal pasti lebih berkesan, konsisten dan bersasar.
“Program Payung Rahmah ini adalah satu bentuk manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah melalui kerjasama bersama rakan-rakan strategik yang terlibat,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah.