UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Junior Bakers@STHEM cungkil bakat cef cilik

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Aida Rasyidah Ahmad Muaen

Gambar STHEM/UUM Today

SINTOK, 24 Mac – Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program Junior Bakers @ STHEM 2024 bersempena dengan cuti persekolahan, baru-baru ini di dapur latihan STHEM.

Dekan STHEM, Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim berkata, program yang bertujuan memberikan pendedahan berkaitan asas pembuatan produk pastri dan bakeri amat bertepatan dengan usaha murni STHEM agar lebih dekat dengan masyarakat setempat, di samping mempromosikan kemudahan yang terdapat di STHEM sesuai dengan Tahun Melawat UUM 2024.

Menurutnya, program yang dijalankan selama tiga hari itu telah disertai oleh pelajar berumur dari 7 hingga 15 tahun yang turut bertujuan mencungkil bakat cef cilik dalam kalangan pelajar yang berminat dengan kemahiran pembuatan produk pastri dan bakeri.

“Program seumpama ini amat bermanfaat kepada semua pelajar yang tinggal berdekatan dengan UUM untuk mengikuti kelas kemahiran agar dapat meningkatkan lagi minat pelajar dalam pembuatan produk pastri dan bakeri.

“Kita akan cuba meneruskan lagi program sebegini pada masa akan datang memandangkan sambutan diterima amat menggalakkan,” katanya.

Seramai 75 orang peserta di mana 28 daripadanya telah memilih untuk mengikuti kelas membuat Rainbow Chocolate Chips Cookies pada hari pertama, 22 orang lagi memilih kelas Funky Doughnut pada hari kedua dan seramai 25 peserta telah mengikuti kelas Kek Tapak Kuda pada hari ketiga.

Program ini dikendalikan oleh tiga orang pensyarah kulinari STHEM iaitu Siti Aminah Hasbullah, Umme Umaimah Amin dan Norhafizi Nordin bersama pembantu penyediaan makanan STHEM.