UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Kambing terbaik jadi pilihan PROkar

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Pokok Sena: Kambing terbaik menjadi pilihan perunding Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi Projek Kambing Untuk Rakyat (PROKar).

Untuk itu, lima perunding PROKar yang diketuai oleh Prof Madya Dr. Siti Hadijah Che Mat dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) turun padang bagi memantau dan menyelia proses mengambil sampel darah kambing yang dijalankan oleh Jabatan Veterinar, baru-baru ini.

Pegawai Veterinar, Muhd Syahrizan Hassan berkata, ujian yang dikenali sebagai Brucella Melintesis ini penting bagi menguji tahap kesuburan organ dalaman kambing sama ada berada dalam keadaan yang baik atau sebaliknya.

“Kambing yang dipilih juga haruslah bebas daripada sebarang jenis penyakit seperti sakit mata, batuk, selsema dan cirit-birit.

“Sebanyak 72 sampel darah berjaya diambil dan usaha ini dilakukan bagi memastikan kambing yang akan dibekalkan kepada penternak PROKar nanti benar-benar sihat dan subur,” katanya.

Selain daripada pengambilan sampel darah, perunding turut menjalankan ujian timbangan berat bagi setiap ekor kambing tersebut bagi memastikan kambing yang dipilih memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Siti Hadijah berkata, proses pengambilan sampel darah kambing ini di lokasi penempatan sementara kambing di kandang milik pembekal iaitu Afwa Hikmah Empire di Pokok Sena melibatkan empat pegawai veterinar dari Jabatan Veterinar daerah Pokok Sena dan Alor Setar.

“Pada peringkat permulaan ini sebanyak 30 daripada 72 ekor kambing telah dipilih oleh perunding UUM seterusnya dihantar kepada peserta pertama projek PROKar dalam masa yang terdekat ini.

“Manakala baki kambing sebanyak 120 ekor lagi akan diserahkan kepada peserta PROKar dalam beberapa fasa yang berikutnya,” ujarnya.

Jelasnya, usaha ini selari dengan hasrat UUM untuk melahirkan usahawan ternak kambing yang berjaya sekali gus meningkatkan hubungan baik antara universiti dengan masyarakat setempat.

PROKar di bawah seliaan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia. UUM merupakan antara IPTA yang terpilih diberikan geran bagi melaksanakan program penternakan kambing ini.

Bantuan dan sokongan yang diberikan berupa 30 ekor kambing untuk setiap penternak serta kandang ini membantu meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti luar bandar yang tinggal berhampiran dengan UUM.

UUM komited melatih usahawan tempatan sehingga mampu melahirkan lebih ramai lagi usahawan yang berjaya dalam bidang penternakan kambing serta meningkatkan pendapatan isi rumah komuniti luar bandar.

Hadir sama, Perunding SEFB, UUM Dr. Wan Roshidah Fadzim, Dr. Azizah Md Yusof, Dr. Aznita Samsi, Dr. Norzita Jamil, Nor Fadzlin Mohammad Bahar dan Khairul Anuar Adnan.