Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today
SINTOK: Tiga hidangan Kumpulan Garam dan Gula berjaya memikat hati juri untuk bergelar juara dalam ‘Heritage Curry Challenge’ anjuran Jabatan Pendaftar yang diadakan hari ini di Pusat Islam.
Garam dan Gula yang disertai Dr. Mohd Rizam Md Ladin, Mohd Hilmi Noordin dan Ezatul Farita Alias dari Jabatan Hal Ehwal Akademik menampilkan tiga hidangan iaitu Kari Kambing Cinta Terindah, Sup Herba Igauan Syurga dan Kerabu Paku Rawan Abg Sado.
Hidangan yang disediakan itu berjaya melayakkan kumpulan tersebut membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan produk jenama Cap O dan Maker Recipe.

Dr. Mohd Rizam berkata, mereka tidak menyangka penyertaan dalam pertandingan ‘Heritage Curry Challenge’ itu bakal membawa kejayaan buat kumpulannya.
Menurutnya, resipi menu adalah ciptaan sendiri yang diolah mengikut cita rasa semua ahli kumpulan, bagaimanapun pemilihan menu itu dibuat berdasarkan panduan yang telah diberikan pihak penganjur.
“Kami perlu menggunakan produk rempah ratus jenama Cap O dan produk Maker Recipe yang telah disediakan.
“Dari situ, kami mula berbincang sebelum pertandingan untuk memilih menu yang bersesuaian, maka terhasillah hidangan Kari Kambing Cinta Terindah, Sup Herba Igauan Syurga dan Kerabu Paku Rawan Abg Sado,” katanya.

Bercerita tentang keistimewaan menu disediakan, Dr. Mohd Rizam berkata, hidangan disediakan menggunakan bahan-bahan segar dan berkualiti, selain menggunakan Pucuk Paku Rawan dan sayuran segar yang dipetik di sekitar kawasan Changlun dan Sintok.
Tambahnya, dengan keikhlasan dan tanpa tekanan turut menjadi faktor kepada kemenangan mereka itu yang julung kali menyertai pertandingan memasak dengan memegang slogan ‘Dari minta turun ke hati, dari hati maka lahirlah dihujung jari’.
Sementara itu, Ketua Unit Kebajikan, Jabatan Pendaftar, Mohd Yusnaidi Md. Sabri berkata, pertandingan masakan itu diadakan sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Universiti Utara Malaysia.

Menurutnya, sebanyak lapan kumpulan terdiri tiga peserta setiap kumpulan menyertai pertandingan tersebut yang julung kali diadakan dengan kerjasama Pusat Islam dan telah mendapat tajaan Maker Recipe.
Tempat kedua dimenangi Kumpulan Top Seri OOO yang disertai Syahril Fazli Mat Hussain, Rozlina A. Seman dan Rozita Mohd Rejab @ Md. Rejab dari Pusat Islam yang membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan produk jenama Cap O dan Maker Recipe.
Manakala tempat ketiga dimenangi Kumpulan Sedap Elok Aih yang diwakili Dr. Annuar Aswan Mohd Noor, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Mohd Isa dan Dr. Sharif Shofirun Sharif Ali dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan.

Hadiah pemenang disampaikan oleh Pengarah Urusan Maker Recipe Sdn. Bhd., Azman Yahaya.