Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today
SINTOK: Karnival Kerjaya anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Talent Bank yang diadakan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah telah memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang pemilihan kerjaya yang sesuai.
Bertemakan ‘Graduan Madani Aspirasi Negara’ yang selaras dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan graduan yang seimbang dan holistik.
Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, graduan madani yang holistik merupakan aspirasi negara yang mempunyai keazaman yang kuat dalam merealisasikan pembangunan negara yang seimbang dari segi ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat.

Menurutnya, pihak pengurusan universiti turut melihat kepentingan libatsama pihak industri dan alumni UUM dalam usaha pengembangan dan peningkatan daya saing graduan bagi memenuhi ekspektasi dan keperluan pasaran.
Kata beliau, melalui usaha gigih pelbagai pihak, UUM telah mencapai kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 94 peratus pada tahun 2022 iaitu lonjakan sebanyak 10 peratus berbanding tahun 2021.
Dr. Mohd Foad berkata demikian ketika merasmikan Karnival Kerjaya UUM 2023 di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, semalam.
Hadir sama Pengarah Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Prof. Madya Dr Che Azlan Taib; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi; Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin dan Pengarah Pusat Kaunseling dan Pembangunan Kerjaya, Dr. Fikriyah Abdullah.

Sementara itu, pelajar, Insyirah Iwani Sahadan berpendapatan bahawa Karnival Kerjaya seperti ini dapat membantu memberi pendedahan awal kepada pelajar yang sedang mencari tempat praktikal dan pendedahan latar belakang syarikat mampu membantu membuat pemilihan yang tepat.
Kira-kira 26 pempamer terdiri daripada syarikat pelbagai bidang telah membuka reruai pada karnival tersebut antaranya Allianz Malaysia, Ijteenad Group (Takaful), GKK Consultants Sdn. Bhd. dan banyak lagi. – Nor Erna Jaslia Mohamad Adam