Sintok: Macam-macam cara digunakan untuk menzahirkan rasa sayang dan cintakan negara salah satunya, mengayuh basikal sambil mengibar Jalur Gemilang beramai-ramai dalam suasana meriah.
Itu yang dilakukan oleh Centre for International Affairs and Cooperation (CIAC) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengadakan Program Kayuhan bersempena bulan kemerdekaan membabitkan 24 peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar mobiliti inbound, baru-baru ini.
Pegawai Tadbir CIAC, Mohd Azri Abdul Aziz berkata, pelepasan bermula di Pusat Sukan, Taman Botani, INASIS Muamalat sebelum berakhir di Pusat Sukan dalam jarak 6.6 kilometer.

“Aktiviti ini dianjurkan bagi memupuk semangat patriotik dan menanamkan semangat cintakan tanah air di kalangan staf di pelbagai peringkat jawatan serta memberi pengalaman baharu kepada pelajar antarabangsa merasai kemeriahan sambutan kemerdekaan di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum yang hidup aman makmur.
“CIAC juga membawa mesej gaya hidup sihat yang menjadi budaya UUM di samping memberikan mesej bahawa hari kemerdekaan boleh disambut dengan aktiviti yang sihat,” katanya.
Jelasnya, pengibaran Jalur Gemilang adalah simbol pengorbanan, kebebasan dan kebanggaan rakyat Malaysia di samping menyemarakkan semangat patriotik cintakan negara.
Usaha ini juga katanya sebagai menyahut seruan pengurusan tertinggi UUM agar menganjurkan pelbagai program yang bertemakan kemerdekaan bermula dari 15 Ogos 2023 hingga 16 September 2023.

Sementara itu, peserta, Pelajar Sarjana Muda Keusahawanan dari Burgundy School of Bussiness, Perancis, Brocher Eloise menzahirkan rasa bertuah kerana berpeluang melihat negara lain menyambut hari bersejarah dan mendapat maklumat berguna untuk mengenali Malaysia dengan lebih dekat menerusi kayuhan ini.
“Sebelum memulakan kayuhan, peserta diberikan taklimat terlebih dahulu supaya mengutamakan keselamatan misalnya memakai topi dan sentiasa peka dengan aspek keselamatan sewaktu mengayuh basikal,” katanya.
Manakala pelajar Sarjana Muda Kewangan, Universitas Muhammadiyah Yogyakarta Indonesia, M.Fadhil begitu teruja sekali dapat menyertai program kayuhan bersempena bulan kemerdekaan ini kerana dapat mengibarkan Jalur Gemilang di samping berkenalan dengan rakan-rakan dari pelbagai negara.
“Acara kayuhan ini sangat menyeronokkan apatah lagi melihat pemandangan alam dan menghirup udara segar di sepanjang jalan sambil mengibarkan Jalur Gemilang Suasana bertambah meriah apabila peserta melaungkan merdeka,” katanya.

Peserta juga sempat berhenti rehat di Taman Botani untuk melihat keindahan flora dan fauna sambil melakukan aktiviti santai seperti bersiar-siar, bergambar selain melihat pokok kaktus dan belajar tentang tumbuh-tumbuhan yang boleh menerbitkan rasa cinta terhadap alam.