GAMBAR SHAMSAIMI EZIL & HAIRUL NIZAM ZAHARI/UUM TODAY
Sintok: Kebolehpasaran graduan (GE) Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun 2022 mencatatkan sebanyak 94.4 peratus, meningkat 10 peratus berbanding GE pada tahun 2021 iaitu 84.4 peratus.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kejayaan ini menunjukkan graduan UUM mudah mendapat tempat sebaik sahaja tamat pengajian.
Beliau menyifatkan graduan yang menerima ijazah pada hari ini juga menjadi penyumbang utama terhadap peningkatan berkenaan.
Menurutnya, graduan Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans, Muhammad Faiz Roslan, walaupun berkelainan upaya, beliau terpilih menyertai program protege Maybank selama 6 bulan seterusnya diserap sebagai staf tetap.
“Seorang rakannya dari program sama, Khoo Shi Shean, berjaya menempatkan diri di syarikat Malayan Flour Mills (MFM) Berhad sebagai Eksekutif HR Operation dan Nik Muhammad Faiz Afiq Muhamad Fadzli dilantik sebagai Konsultan di KPMG Malaysia.
“Graduan Tan Xin sudah diterima bekerja sebagai Equity Analyst di Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Muhd Faris Yusri sebagai Eksekutif Akaun di sebuah syarikat pembinaan.

“Kedua-dua graduan ini berjaya lulus semua ujian RFP atau ‘Registered Financial Planner’ yang diiktiraf sebagai profesional dalam bidang kewangan. Seorang lagi, graduan program ini yang menyumbang kepada peningkatan peraturan kebolehpasaran graduan (GE) ialah Nurul Ain Hashim, kini bekerja sebagai Eksekutif Akaun di Syarikat Lavender confectionery & Bakery Sdn Bhd,” ujarnya.
Jelasnya, graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan telah dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran bersepadu dalam aspek teori dan praktikal kewangan, terutamanya dalam pengurusan pelaburan dan pengurusan kekayaan, agar mereka dapat mempersiapkan diri dalam bidang kerjaya berkaitan kewangan.
“Program ini mudah mendapat kerja kerana UUM bekerjasama dengan rakan industri seperti Malaysian Financial Planning Council (MFPC) dan CFA Institute yang memberikan peluang kepada mereka untuk menduduki dan memperolehi sijil profesional seperti Registered Financial Planner dan Chartered Financial Analyst,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru graduan sentiasa mengamalkan falsafah pembelajaran sepanjang hayat. Dalam konteks ini pembelajaran sentiasa berterusan sama ada secara formal atau tidak formal diperlukan dalam meningkatkan keupayaan diri sendiri.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada semua graduan serta terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan harapan besar ibu bapa sehingga pelajar berjaya bergelar graduan, pensyarah juga memberi banyak budi terhadap kejayaan ini dan teruskan berbakti kepada ibu bapa yang banyak berkorban keringat dan air mata bagi memastikan kejayaan anda,” ucapnya pada sesi keenam, Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Utara Malaysia (UUM), di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.
Sesi keenam menyaksikan seramai 807 graduan Sarjana Muda Perbankan, graduan Sarjana Muda Kewangan, graduan Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans, graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan), graduan Sarjana Muda Pengurusan Operasi dan Sarjana Muda Pengurusan Teknologi menerima ijazah masing-masing.