Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK: Pencapaian dan kecemerlangan Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) menjadikan pusat pengajian tersebut dipilih untuk siri lawatan pertama Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan hari ini sejak dilantik sebagai Naib Canselor pada 2 April lalu.
SOC dipilih sebagai pusat pengajian pertama untuk lawatan berikutan kejayaan SOC pada 2022 telah dinobatkan sebagai Pusat Pengajian Terbaik.
Kedatangan beliau disambut Dekan, Prof. Dr. Osman Ghazali yang juga Penolong Naib Canselor UUM CAS dan warga SOC.

Pada pertemuan itu, Mohd Foad mengingatkan agar SOC perlu berusaha lebih kuat lagi pada masa akan datang untuk mempertahankan kedudukan tersebut dan terus menjadi contoh kepada pusat-pusat pengajian lain, di samping semangat kerja berpasukan perlu dikekalkan.
Beliau turut berharap agar SOC yang telah ditubuhkan sejak 1990 dapat menabur bakti kepada negara, negeri Kedah, universiti, masyarakat sekitar dan juga pelajar.
Ketika bertemu dengan warga SOC, Mohd Foad mengimbas kembali misi penubuhan UUM sejak 1984 iaitu untuk mengembang dan memajukan pendidikan pengurusan di Malaysia serta menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi dan pendidikan di negeri Kedah.
Beliau telah mengucapkan syabas dan tahniah kepada penjawat SOC yang telah dilantik dan berharap agar SOC dapat terus cemerlang pada masa akan datang, malah mengingatkan agar SOC dapat menjalinkan hubungan yang akrab bersama kerajaan negeri Kedah dalam konteks pembangunan negeri.
Pada masa sama turut mengingatkan agar SOC dapat terus menjaga kebajikan pelajarnya agar mereka mendapat pengalaman yang menyeronokkan sepanjang mengikuti pengajian di UUM.

Masih dalam suasana hari raya, Mohd Foad Sakdan berkesempatan menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri di Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP).
Kedatangan beliau disambut LAr Noraini Abu Seman yang menjalankan fungsi Pengarah JPP.