Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today
SINTOK: Masalah kesihatan mental serta tekanan emosi antara isu kesihatan awam yang semakin penting sehingga boleh menjejaskan kesejahteraan fizikal dan sosial seseorang individu.
Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pasca pandemik Covid-19 telah membawa rakyat di negara ini berdepan dengan pelbagai isu sama ada politik mahupun ekonomi, tidak ketinggalan isu sosial.
Justeru, menurutnya, penganjuran Persidangan Pengurusan Sumber Manusia ini adalah bertepatan yang memfokuskan kepada isu-isu kesejahteraan khususnya terhadap golongan pekerja di Malaysia.

Kata beliau, bertemakan ‘Human Regenesis – Pursuing Human Capital Happiness‘, persidangan ini diyakini akan mencapai matlamatnya untuk mengumpul dan membincangkan isu-isu positif mahupun negatif mengenai cabaran modal insan di dalam pengurusan sumber manusia di peringkat kebangsaan.
“Dalam memastikan setiap pekerja berada dalam keadaan terbaik dan bermotivasi, aspek kesihatan mental setiap modal insan hendaklah diutamakan, tambahan pula isu berkenaan kesihatan mental pekerja kerap diperdebatkan akhir-akhir ini.
“Pekerja yang mempunyai tahap kesihatan mental yang baik akan memiliki empat ciri utama iaitu pertama, sedar tentang kemampuan diri sendiri; kedua, boleh mengatasi tekanan kerjanya setiap hari; ketiga, boleh bekerja secara baik dan keempat, boleh memberi sumbangan terhadap komuniti,” ujarnya dalam Majlis Perasmian Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Peringkat Kebangsaan Kali Ke-9 di EDC UUM, hari ini.

Tambah Dr. Mohd Foad, dengan adanya persidangan itu akan membuka minda semua pihak untuk memiliki kesedaran dan keprihatinan kepada perkara yang berkaitan dengan kesejahteraan modal insan di negara ini.
Katanya, pekerja merupakan aset penting kepada negara dan harus diberi bimbingan, didikan serta kesedaran bagi membolehkan mereka menjadi modal insan yang gembira ditempat kerja, produktif dan berjasa terhadap bangsa, agama dan negara.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad berkata, persidangan itu bertujuan untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing dari aspek fizikal dan mental.
Katanya, beliau berharap sepanjang persidangan itu berlangsung dapat mencapai tiga fokus utama iaitu jalinan kerjasama dengan pemegang taruh, menjadi platform membantu pengamal industri, ahli akademik UUM dan pelajar untuk membincangkan isu semasa serta mengenal pasti cabaran semasa dan peluang resolusi.

Pada persidangan ini turut menjemput dua alumni UUM iaitu Head/ General Manager Human Resource Business Partners-PROTON, Rodzal Had dan Naib Presiden Sumber Manusia SHELL Malaysia merangkap Profesor Adjung, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Shazmi Ali Sardar Ali.
Rodzal menyampaikan ucaptama beliau bertajuk ‘Addressing Employees’ Happiness and Welbeings in Malaysian Work SettingExperience: General Manager, Human Resources Business Partner – PROTON’, manakala Shazmi Ali dengan tajuk ‘Human Regenesis – Pursuing Human Capital Happiness: Adjunct Professor & Vice President Human Resources – SHELL’.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail dan Pengarah Persidangan, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid.