Serangan Covid-19 di luar jangka mengakibatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan operasi pelbagai sektor termasuk universiti. Lalu kelas secara dalam talian (online) mengambil tempat bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) terus berlangsung.
Pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Hafizah Mohamad Hsbollah berkata, situasi pandemik menyebabkan pelajar terpaksa belajar dari rumah namun, belajar secara bersendirian tanpa kehadiran pensyarah dan teman adakalanya membosankan sehingga hilang fokus dan minat.
“Cabaran belajar dalam talian adalah bagaimana untuk memastikan pengajaran berkesan dan menarik serta pelajar dapat terlibat secara aktif dalam proses pembelajaran jadi keadaan ini membuatkan saya terfikir bagaimana mahu menjadikan proses pengajaran lebih menarik dan interaktif,” ujarnya.

Berbekalkan ilham yang dikurniakan Allah serta komitmen bersama rakan sepasukan, Prof. Madya Dr. Haslinda Hassan dan Dr. Mohd. Hadzrami Harun Rasit maka terhasillah Projek ‘TDiRI (Teach – Do It – Reflect – Improve) with Active, Fun and Technology’ untuk mentransformasikan kaedah pengajaran bagi kursus teknikal di TISSA-UUM.
“Apabila TDiRI diperkenalkan dalam kelas, kaedah ini mendapat sambutan dan reaksi positif daripada pelajar yang mana kaedah ini berjaya menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran yang menarik. Pelajar terlibat secara aktif dalam kelas walaupun belajar secara atas talian.
Melalui TDiRI, PdP menjadi interaktif dan meningkatkan penglibatan pelajar di dalam kelas. Kaedah pengajaran ini fokus kepada empat kaedah iaitu ‘Teach’ di mana pensyarah menggunakan kaedah ‘hands-on’ dengan mengintegrasikan elemen ‘Active, Fun and Technology’.
Kedua, ‘Do It’ iaitu pelajar mengaplikasikan konsep yang telah dipelajari. Ketiga, ‘Reflect’ apabila pelajar membuat refleksi pembelajaran dan keempat, ‘Improve’ iaitu pelajar membuat penambahbaikan untuk meningkatkan kefahaman dan kebolehan mengaplikasi konsep yang dipelajari.
Peranan pensyarah amat penting untuk memudah cara aktiviti ‘Do it, Reflect dan Improve’ manakala penggunaan ‘digital tools’ seperti ‘Miro Board, Canva dan Wakelet’ amat membantu untuk menjadikan proses PdP yang lebih bermakna.
Projek transformatif Teach-Do It-Reflect- Improve (TDiRI) with Active, Fun, and Technology Elements telah berjaya difailkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Hafizah mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dalam menggunakan TDiRI kepada pihak yang terlibat.

Kegembiraan berganda apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengiktiraf usaha cemerlang, kreatif dan inovatif pasukan ini apabila meraih Naib Johan Kategori Pengajaran Transformatif pada majlis Anugerah Khas YB Menteri Pengajian Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif Tahun 2022 (AKRI 2022), di Putrajaya sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil.
AKRI 2022 yang melibatkan 220 penyertaan daripada Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti diadakan untuk mengenal pasti, memberi pengiktirafan serta berkongsi amalan terbaik projek serta inisiatif yang telah dilaksanakan yang memberi impak kepada masyarakat dan negara.

Bagi Haslinda, beliau menyifatkan projek ini berupaya meningkatkan keterlibatan pelajar sewaktu proses pembelajaran seterusnya meningkatkan pencapaian dan kemahiran pelajar.
Kaedah transformatif yang diperkenalkan ini berjaya membangunkan potensi pelajar dalam kemahiran insaniah menerusi ‘4Cs: Communication, Collaboration, Creativity and Critical Thinking’ dan kemahiran teknikal sehingga menarik hati juri.
“Alhamdulillah, projek ini berjaya mengetengahkan inovasi dan kreativiti dalam memperkasakan PdP yang memberi impak kepada masyarakat dan negara walaupun berdepan persaingan sengit daripada 66 penyertaan yang diterima, hanya 5 projek terpilih untuk sesi Pitching.
“Kejayaan kecil ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada semua rakan akademik untuk sentiasa berusaha bersama-sama untuk menambahbaik kaedah PdP dalam melahirkan graduan yang holistik yang mampu berdaya saing di masa hadapan,” kongsinya.