UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Kem Tahsin Solat pemangkin akhlak mahmudah

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Berita dan gambar Siti Fatimah Azahara Ramli/UUM Today

ALOR SETAR: Solat merupakan rukun Islam kedua bagi umat Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah. Sekiranya seseorang individu Muslim itu tidak menjaga solatnya, maka tidak sempurnalah iman seseorang Muslim tersebut.

Menyedari betapa pentingnya menjaga solat bagi setiap individu muslim, maka Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas telah menganjurkan Program Kem Tahsin Solat kepada Pelajar Tingkatan Satu di Surau An Nur sekolah tersebut.

Pegawai Tadbir Pusat Islam, Madihah Mohamed Ibrahim berkata, objektif utama program ini adalah untuk menambah ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman mendirikan solat secara teori dan amali dalam kalangan peserta.

Selain itu, menurutnya, menerusi program ini, pelajar dapat mengamalkan solat lima waktu dengan ilmu dan kefahaman yang betul dan memberi peluang kepada mereka untuk melakukan simulasi solat secara individu dan berjemaah.

“Telah terbukti bahawa pelajar yang menjaga solat dengan betul adalah pelajar yang lebih berakhlak dan dapat mencegah daripada melakukan vandalisme dan gengsterisme dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

“Mereka kelak akan akan membesar menjadi sebahagian masyarakat yang berakhlak mulia dan cemerlang dari segi mental dan spiritual,” katanya.

Seramai 195 pelajar telah memberikan komitmen yang tinggi dan bersemangat ketika mendengar taklimat dan menjawab soalan kuiz yang diberikan oleh penceramah termasuk dua pembimbing program daripada Pusat Islam iaitu Muhammad Uzair Abdul Shukor dan Madihah Mohamed Ibrahim.

Peserta, Irdina Qaisara Mohd Sani berkata, dia amat teruja mengikuti program ini kerana bentuk penyampaian yang diberikan oleh kedua penceramah sangat menarik dan tidak membosankan, di samping pihak penganjur juga menyediakan pelbagai hadiah yang menarik bagi peserta yang berjaya menjawab kuiz mengenai solat.

Hadir sama, Pengetua SMK Kepala Batas, Sariza Othman.