UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Kembar cantik konvo bersama, terima ijazah kelas pertama

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Ihsan Khairina dan Khairini Ismail/UUM Today

SINTOK: Impian pasangan kembar dari Alor Setar, Kedah untuk bergraduasi bersama tercapai apabila kedua-dua mereka menerima ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam Kelas Pertama di Majlis Konvokesyen Ke-36 Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Khairina Ismail dan Khairini berusia 24 tahun merupakan pasangan kembar daripada 8 beradik dan satu-satunya dalam keluarga mereka yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.

Khairina (dua, kanan) dan Khairini bersama ibu bapa, Ismail Mohd Akhir dan Nolia Saad di hadapan Dewan Mu’adzam Shah, UUM.

Khairina berkata, mereka berdua berasa sangat bersyukur kerana impian sejak melangkah ke alam universiti untuk membanggakan ibu bapa dan keluarga terlaksana.

Menurut anak ketujuh daripada 8 beradik itu, hasil keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lalu telah memisahkan dia dan adiknya, Khairini ke universiti yang berbeza.

“Saya mendapat tawaran belajar di UUM, manakala adik mendapat tawaran belajar ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan.

“Namun, Khairini hanya mampu bertahan selama satu semester sahaja kerana tidak boleh berpisah dengan saya hingga menyebabkan dia tidak dapat fokus dalam pelajaran,” katanya.

Pasangan kembar dari Alor Setar bergambar kenangan bersama sebahagian ahli keluarga yang hadir.

Khairini pula berkata, dia dan kakak kembarnya itu tidak pernah berpisah sejak dari kecil sehingga tamat belajar Tingkatan Enam.

Jadi, menurutnya, dia telah membuat permohonan untuk bertukar ke UUM dalam program pengajian sama dengan Khairina dan permohonan tersebut berjaya.

“Syukur Alhamdulillah dan kami berazam untuk untuk berusaha bersungguh-sungguh hingga berjaya bukan sahaja dapat menaiki pentas konvokesyen bersama, tetapi menggenggam ijazah kelas pertama.

“Berkat kesungguhan dan doa ibu bapa serta tunjuk ajar pensyarah dan rakan-rakan,
banyak urusan kami yang dipermudahkan-Nya. Paling penting, sentiasa mendekatkan diri dgn Allah iaitu melakukan amalan sunat setiap hari bersama-sama sebelum memulakan kelas atau tugasan dengan mengerjakan solat sunat tahajud, sunat hajat, sunat dhuha, membaca Al-Quran dan sebagainya,” ujarnya yang kini bekerja sebagai kerani bagi mendapatkan pengalaman sambil menantikan peluang pekerjaan yang setaraf dengan bidang pengajian.

Bersama ahli keluarga yang hadir meraikan kejayaan mereka menamatkan pengajian Sarjana Muda Pengurusan Awam.

Pasangan kembar anak kepada pesara posmen, Ismail Mohd Akhir, 63, dan surirumah, Nolia Saad, 62, itu berharap dapat membalas budi dan pengorbanan ibu bapanya serta keluarga yang menjadi sumber kejayaan mereka hari ini.

Kedua-dua mereka antara 812 graduan yang menerima ijazah daripada Pro-Canselor, Yang Mulia Tengku Tan Sri (Dr.) Mahaleel Tengku Ariff pada sesi keempat di Dewan Mu’adzam Shah.

Turut diraikan pasangan kembar, Yap Houng Ying dan Yap Houng Minn, graduan Sarjana Muda Multimedia yang menerima ijazah kelas pertama masing-masing pada sesi kelima bersama Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, petang semalam.