KUALA LUMPUR: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencapai kesepakatan untuk bekerjasama bagi memperkasakan industri pertahanan di kedua negara itu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, persetujuan itu dicapai hasil pertemuan bersama Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan UAE, Mohammed Ahmed Al Bowardi dalam lawatan rasmi beliau ke UAE, kelmarin.
Menurutnya, delegasi Malaysia turut dibawa melawat Edge Group iaitu konglomerat 25 syarikat milik kerajaan UAE yang menyediakan persenjataan tentera dan teknologi berkaitan sebagai cerminan kesungguhan usaha sama itu.

Kata beliau, delegasi turut diberi peluang meninjau Tawazun Industrial Park, Zayed Military City di Abu Dhabi yang juga lokasi khusus untuk syarikat tempatan dan antarabangsa berkaitan pertahanan membangunkan produk mereka.
“Lawatan ini memberi ruang kepada Malaysia untuk mempelajari pendekatan UAE memacu industri pertahanan mereka terutamanya menerusi Tawazun Industrial Park.
“Ia penting dan selari dengan perancangan kerajaan Malaysia memandangkan ketika ini Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) sebagai inisiatif susulan kepada Kertas Putih Pertahanan (KPP) sedang giat dirangka,” katanya.
Hishammuddin berkata, antara teras DIPKN ialah mewujudkan Zon Industri Pertahanan yang berkonsepkan Tawazun Industrial Park.
Menurut beliau, zon perindustrian itu yang ditubuhkan untuk membantu mengembangkan lagi keupayaan perindustrian UAE terutamanya menyediakan pangkalan pembuatan untuk produk dan industri berkaitan pertahanan.
Tambahnya, beliau bersama delegasi Malaysia turut meluangkan masa melawat beberapa syarikat pertahanan tempatan termasuklah NIMR, pengeluar kenderaan tentera perisai dan CARACAL, pengeluar senjata pistol, senapang dan sniper.
“Berteraskan komitmen tinggi kerajaan Malaysia dan UAE untuk memperkasa industri pertahanan Malaysia, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan EDGE Group.

“MoU ini antara lain merangkumi penerokaan peluang kerjasama lebih erat antara LTAT dengan EDGE Group dalam usaha menyokong pelbagai bentuk keupayaan dan penyelesaian pertahanan.
“Kerjasama EDGE Group dan LTAT bagi mengenal pasti potensi pelaburan bersama dalam bidang industri strategik dan pertahanan di Malaysia,” katanya.
MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EDGE Group, Mansour Mohamed Al Mulla dengan disaksikan Hishammuddin serta kepemimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia.
Selain itu mewakili kerajaan, Hishammuddin turut menzahirkan rasa bangga dan kagum melihat kesungguhan kerajaan UAE mengembangkan industri pertahanannya ke tahap yang sangat memberangsangkan.
“Hubungan akrab Malaysia-UAE, kerjasama erat peringkat Menteri, kementerian dan angkatan tentera akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasakan lagi industri pertahanan Malaysia,” katanya.
Secara keseluruhan beliau turut menyifatkan lawatan ke UAE amat bermanfaat dan berjaya terutamanya dalam meningkatkan hubungan pertahanan kedua negara ke tahap lebih tinggi termasuklah dalam konteks industri pertahanan.