UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM-ANGKASA bantu tangani masalah jaminan makanan

UUM ONLINE: Penglibatan bersama kepakaran yang ada di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) boleh membantu kerajaan khususnya dalam memastikan jaminan makanan negara berada dalam keadaan selamat.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah ketika berucap di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UUM dan ANGKASA, menyatakan keyakinan terhadap kepakaran yang ada di universiti ini yang boleh membina data raya (big data) untuk membuat ramalan dan unjuran yang tepat untuk dibentangkan kepada kerajaan dalam mengatasi masalah jaminan makanan.

Hal ini kerana, menurut beliau, kebanyakan koperasi yang berada di negara maju terlibat dalam sekor pertanian dan makanan, pemborongan dan peruncitan serta insurans.

“Berdasarkan laporan World Co-operative Monitor 2021, terdapat kira-kira 300 koperasi terbesar dunia dengan pendapatan sebanyak RM8.8 trilion pada tahun 2019.

“Negara-negara maju seperti Perancis, Jepun, United Kingdom memiliki koperasi yang menjalankan operasi sehingga mencecah RM115 bilion dan kebanyakan koperasi ini terlibat dalam sektor pertanian dan makanan, pemborongan dan peruncitan serta insurans,” ucapnya di majlis yang berlangsung di Balai Tamu, Canselori Sułtan Sallehuddin, petang tadi.

“Ini jelas membuktikan gerakan koperasi boleh memainkan peranan utama dalam mengerakkan ekonomi dan membantu negara menghadapi cabaran kos sara hidup. Saya juga yakin, gerakan koperasi boleh menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan penglibatan yang lebih ramai Keluarga Malaysia,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau lagi, dalam usaha kerajaan membawa negara menuju ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025, isu kenaikan kos sara hidup ternyata menjadi antara cabaran yang besar pada waktu ini.

“Untuk menghadapi cabaran ini, pihak kerajaan memerlukan kerjasama semua pihak khususnya daripada ANGKASA dan UUM dengan memberi fokus memperkasa pembangunan gerakan koperasi dalam penguasaan rantaian bekalan,” kata Haim Hilman lagi.

Haim Hilman dan Abdul Rahman bertukar-tukar pandangan.

Kenyataan Haim Hilman ini dipersetujui Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dalam ucapannya dan berharap kesarjanaan yang ada di UUM khususnya dalam pengurusan dan tadbir urus dapat membantu ANGKASA menjadi lebih baik khasnya dalam membantu kerajaan menyediakan jaminan makanan.

Malah Abdul Rahman berharap institut bersama yang bakal ditubuhkan dengan nama AUMI (ANGKASA-UUM Management Institute) akan membantu ANGKASA dari aspek kerjasama strategik, latihan, konsultasi, dan juga penyelidikan.

Sebelum itu, sesi penandatanganan memorandum berkenaan telah dibuat antara Haim Hilman dan Abdul Rahman.

Turut hadir Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim, Pengerusi ANGKASA Kedah, Wan Ibrahim Wan Just, Pengurus Besar Pembangunan Sumber Manusia ANGKASA, Abdul Rahim Abdul Rahman, Dekan Gazali Shafie Graduate School of Governance, Prof. Dr. Rusdi Omar dan pegawai pengurusan tertinggi universiti.