UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Kerjasama UUM dan MGTC sokong pertumbuhan hijau Malaysia

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today

KUALA LUMPUR: Bagi menyokong pertumbuhan hijau dan pelan mitigasi perubahan iklim di Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) mencapai kesepakatan untuk bekerjasama bagi menjayakan agenda tersebut.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, UUM menerusi Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) akan bekerjasama dengan MGTC secara berterusan dan efektif dalam bidang kolaborasi yang berpotensi berkaitan kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu.

Dr. Mohd Foad (tiga, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif, MGTC, Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor (dua, kiri) menandatangani memorandum persefahaman antara UUM dan MGTC, petang tadi.

Menurutnya, kolaborasi itu merangkumi bidang penyelidikan, pertukaran maklumat, penulisan penerbitan dan perkongsian bahan rujukan, penempatan staf dan pelajar serta aktiviti pengurusan tenaga lestari hijau di UUM melalui pensijilan ‘Energy Management Gold Standard‘ (EMGS) di bawah ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS).

Selain itu, kata beliau, UUM dan MGTC juga akan bekerjasama dalam penawaran sijil atau modul kompetensi yang berkaitan pengurusan tenaga lestari, kerjasama bagi pematuhan kepada dasar dan polisi kebangsaan serta sebarang peluang kolaborasi atau bidang kerjasama lain yang dipersetujui bersama.

Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato’ Seri Huang Tiong Sii (dua, kiri) hadir menyaksikan pemeteraian MoU antara UUM dan MGTC.

”UUM sangat bertuah kerana berpeluang meluaskan kolaborasi dengan pihak industri dari pelbagai bidang, antaranya kerjasama dengan MGTC ini.

”Saya harap kerjasama ini akan memanfaatkan kedua pihak dan pada masa sama kepada komuniti dan negara dalam usaha kita menyokong pertumbuhan hijau dan pelan mitigasi perubahan iklim di Malaysia,” ujarnya di Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan MGTC sempena ‘International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia’ (iGEM 2023) yang berlangsung mulai semalam hingga 6 Oktober di KLCC.

Dr. Mohd Foad meninjau sekitar reruai pameran yang mengambil bahagian dalam iGEM2023.

Pemeteraian MoU tersebut ditandatangani Naib Canselor UUM dan Ketua Pegawai Eksekutif, MGTC, Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor dengan disaksikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato’ Seri Huang Tiong Sii, petang tadi.

Turut serta, Dekan STML, Prof. Dr. Nor Hasni Osman.

Dr. Mohd Foad turut meluangkan masa meninjau reruai pameran yang mengambil bahagian dalam iGEM2023.

Dr. Mohd Foad mendengar penerangan tentang kenderaan berat yang dipamerkan di iGEM2023.

MGTC merupakan agensi kerajaan di bawah seliaan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang bertindak sebagai agensi pelaksana polisi-polisi kerajaan dan titik fokus utamanya adalah bagi pembangunan dan promosi teknologi hijau dan perubahan iklim di Malaysia.