UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Ketua Pustakawan: Fokus untuk capai KPI

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Perpustakaan Sultanah Bahiyah/UUM Today

SINTOK: Warga kerja Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah diberi penghargaan oleh Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib dalam Majlis Aspirasi PSB 2024 Bersama Ketua Pustakawan di Bangunan Utama PSB.

Dr. Che Azlan dalam ucapan beliau telah menekankan warga PSB perlu lebih fokus bagi mencapai KPI tahunan dan meningkatkan usaha bagi mempertingkatkan keberkesanan produk dan perkhidmatan PSB kepada warga kampus dan luar kampus.

Menurutnya, semua warga PSB perlu menghayati tagline Universiti Utara Malaysia iaitu “ILMU, BUDI, BAKTI” dan mengadaptasikan dalam setiap pekerjaan yang dilaksanakan.

Katanya, semua warga kerja PSB patut bekerja dengan ilmu supaya boleh menggarap pencapaian yang lebih tinggi dan berkualiti, seterusnya boleh menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan dengan penuh kesungguhan dan bertanggunjawab.

“PSB mesti melaksanakan tindakan yang lebih agresif bagi memaksimumkan penggunaan sumber-sumber ilmu yang ada di PSB, terutama pangkalan data dalam talian, koleksi buku selain kemudahan fizikal seperti auditorium, bilik perbincangan, bilik tayangan dan sebagainya.

“Staf pentadbiran juga perlu menambahkan pembacaan bagi meningkatkan ilmu ke arah mewujudkan pekerja yang berpengetahuan dan mengamalkan budaya membaca dan berilmu dalam kalangan staf bukan akademik,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyentuh tentang kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh PSB sebelum ini, termasuk Penganugerahan Sijil ISO9002 oleh SIRIM QAS Sdn Bhd pada 30 Disember 1997 sebagai perpustakaan pertama di negara ini yang dianugerahkan Pensijilan Sistem Kualiti MS ISO9002.

Di samping itu. Dr. Che Azlan berkata, PSB telah mendapat sejumlah geran penyelidikan dan berjaya juga memperolehi peruntukan untuk langganan pangkalan data Web of Science (WoS).

Beliau turut mempelawa pustakawan untuk turut serta menjalankan penyelidikan dalam bidang kepustakawanan.

Beliau juga mengetengahkan carta organisasi PSB yang distruktur semula oleh beliau dengan mewujudkan unit-unit baharu yang lebih relevan dengan keperluan dan kehendak pelanggan perpustakaan pada masa kini iaitu zaman kecerdasan buatan (AI) seperti Unit Penataan, Bahagian Teknologi dan Perpustakaan Pintar, Bahagian Komunikasi Korporat dan Unit Enterprise Digital Planning.

Dr Che Azlan juga berkongsi aspirasi PSB dengan hala tuju mentadbir PSB berteraskan konsep pengurusan berkualiti dan tadbir urus korporat dengan memfokus kepada pengukuran pencapaian berdasarkan petunjuk prestasi input, output, outcome serta penilaian kualiti perkhidmatan.

Majlis juga turut meraikan kenaikan pangkat Ketua Pustakawan dari Prof. Madya ke Professor (VK7) pada 1 Januari 2024. Majlis juga dilengkapi dengan serahan tugas antara Penolong Ketua Pustakawan, Norhardi Saad kepada Mazyana Hashim yang akan mengetuai Bahagian Teknologi dan Perpustakaan Pintar, Hasma Harun menyerahkan tugas di Bahagian Arkib Universiti kepada kepada Norhardi Saad yang akan memimpin Bahagian Muzium Pengurusan dan Bahagian Arkib Universiti. – Hasma Harun