Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today
ALOR SETAR: Kewangan sosial Islam mempunyai potensi dan sesuai dalam membangunkan ummah dan membasmi kemiskinan.
Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kewangan sosial dan kewangan Islam saling berkaitan di mana kedua-duanya bertujuan untuk menggalakkan rangkuman kewangan dan mengurangkan kemiskinan.
Menurutnya, prinsip kewangan sosial Islam tidak terhad kepada dunia Islam sahaja tetapi dengan menerima kewangan sosial Islam, negara di seluruh dunia boleh menyalurkan dana ke arah projek tanggungjawab sosial, memacu pembangunan ekonomi dan sosial.

“Kewangan sosial Islam boleh menjangkau khalayak yang lebih luas melalui platform digital. Penyelesaian fintech dan pembayaran zakat dalam talian misalnya, memudahkan individu dan organisasi untuk mengambil bahagian dalam inisiatif kewangan sosial.
“Sebagai sebuah negara yang majoritinya beragama Islam, Malaysia telah berada di barisan hadapan dalam membangunkan dan mempromosikan kewangan sosial Islam, malah kerajaan dan pelbagai institusi kewangan Islam juga bekerjasama untuk memastikan prinsip kewangan Islam diterapkan bagi menangani isu sosial dan ekonomi dengan berkesan,” katanya pada Majlis Perasmian International Symposium on Islamic Social Finance 2023 (ISF2023) anjuran Institute of Shariah Governance and Islamic Finance (ISGaIF), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) di Hotel Raia, pagi tadi.

Teks ucapan beliau itu telah dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail.
Kata Dr. Mohd Foad, UUM tidak ketinggalan untuk terlibat secara aktif dalam penyelidikan berkaitan kewangan sosial termasuk kewangan Islam, mikrotakaful dan kewangan mampan di mana ahli akademik dan penyelidik UUM menerbitkan kajian dan artikel mengenai kewangan sosial Islam ini.
Di samping itu, tambahnya, UUM juga bekerjasama dengan banyak institusi termasuk Bank Islam dan syarikat takaful untuk mendidik masyarakat dan pelajar tentang prinsip dan aplikasi kewangan sosial.
Sebagai rekod, pada awal 2023, UUM telah menerima sejumlah RM15 juta dana endowmen daripada FWD Takaful Berhad untuk penubuhan Dana Takaful Sosial sebagai pelopor untuk menegakkan kewangan sosial ke arah sistem kewangan yang lebih mampan demi generasi akan datang.

Sementara itu, Menjalankan Tugas Dekan IBS, Dr. Zairy Zainol dalam aluannya berkata, penganjuran ISF2023 menjadi platform kepada ahli akademik dan pengamal kewangan untuk mempamerkan amalan dan inovasi yang memberi impak serta membincangkan isu, trend dan amalan terbaik dalam membangunkan ummah, khususnya dari aspek kewangan sosial, selaras dengan tema ISF2023 iaitu ‘Strengthening Islamic Social Finance Towards Sustainable Development of Ummah’.
ISF2023 yang dihadiri hampir 120 peserta itu dimulakan dengan ucaptama Ketua Pegawai Pengedaran FWD Takaful, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi dengan tajuk ‘Islamic Social Finance Towards Sustainable Development of Ummah: Takaful Lens’.