UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Kiddy’s Edu Hydroponic Kit pupuk minat anak muda bertani

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar SEFB

JITRA: Generasi muda hari ini perlu dididik dengan teori serta praktikal pertanian demi memastikan kelestarian sektor pertanian pada masa hadapan.

Minat dan semangat yang positif terhadap pertanian itu perlu dipupuk sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Sehubungan itu, sepasukan penyelidik dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) telah mengadakan program pemindahan ilmu pengetahuan dan praktikal kaedah tanaman hidroponik dengan menggunakan Kiddy’s Edu Hydroponic Kit kepada 130 orang pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ahmad Tajuddin.

Murid Tahun 5 SK Sultan Ahmad Tajuddin didedahkan dengan teori dan praktikal pertanian demi memastikan kelestarian sektor pertanian pada masa hadapan. SEFB/UUM Today

Ketua pasukan, Prof. Madya Dr. Shri Dewi a/p Applanaidu berkata, objektif utama program itu adalah memindahkan dan meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan hidroponik kepada murid sekolah rendah khususnya kepada murid Tahun 5 yang belajar subjek Rekabentuk dan Teknologi.

“Produk ini membantu menyemai minat kanak-kanak khususnya pelajar sekolah rendah untuk belajar menanam sayur sendiri dengan kaedah tanaman hidroponik.

“Kit hidroponik ini mempunyai keistimewaan dari segi mudah dikendalikan, berwarna-warni, menarik, interaktif (Mobile Apps & Pocketbook) dan sesuai dijadikan sebagai alat bantu mengajar untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun bagi memupuk minat generasi muda menceburi aktiviti pertanian,” katanya.

Shri Dewi (kiri) menunjukkan kaedah hidroponik dengan menggunakan Kiddy’s Edu Hydroponic Kit. SEFB/UUM Today

Tambahnya, program ini bertepatan dengan peranan universiti sebagai ejen pemindahan ilmu berkaitan pertanian lestari kepada masyarakat setempat dan selaras dengan ‘Sustainable Development Goals (SDGs) 4:Providing quality education and promoting lifelong learning’.

Kiddy’s Edu Hydroponic Kit  ini turut dihasilkan bersama Dr. Rozana Samah dari SEFB dan Prof. Madya Dr. Siti Mahfuzah Sarif (SMMTC) serta rakan industri, PakMansor Agromodern Sdn. Bhd.

Produk ini telah berjaya merangkul pingat perak di Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa Tahun 2022 (PECIPTA’22) yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan, Bachok, Kelantan.

Program pemindahan ilmu (teori dan praktikal) hidroponik dengan menggunakan Kiddy’s Edu Hydroponic Kit ini juga turut dijayakan oleh 30 pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Perniagaantani, UUM yang berperanan sebagai fasilitator dan seterusnya dapat mengoptimumkan pengalaman pengajaran dan pembelajaran mereka dalam berkhidmat untuk komuniti setempat melalui aktiviti Service Learning.