UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Kisah Rozieta Izlyn dapat perhatian YPM, sumbang komputer riba

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK: Kisah tular kesusahan pelajar Rozieta Izlyn Raduan, 20, untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini telah mendapat perhatian Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dengan menyumbang komputer riba (laptop) kepadanya.

Pelajar Semester 1, Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti itu menerima sumbangan tersebut yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Faisalludin Mohamat Yusuff bersama Pegawai Perhubungan Pendidikan Negeri Yayasan Pelajaran MARA Negeri Kedah, Muhd Akmal Fawwaz Muhamad Ali di Galeri UUM, petang tadi.

Turut serta, Ketua Unit Pentadbiran dan Pengurusan Acara, UUM Corporate Communication, Rasidah Rodzi.

Rozieta mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Yayasan Pelajaran MARA atas sumbangan komputer riba tersebut.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu saya untuk menyiapkan tugasan sepanjang berada di universiti.

“Dengan sumbangan ini juga membakar semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Rozieta yang mendaftar di UUM pada 24 Oktober lalu merupakan anak sulung daripada empat beradik berusia antara 12 hingga 18 tahun berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Kisah anak kepada Rokiah Adam, 41, ini pernah tular di Facebook kerana menghadapi masalah kewangan untuk menyambung pengajian meskipun mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Kesusahan anak muda ini turut mendapat perhatian pihak UUM yang menyalurkan bantuan segera kepadanya agar hasrat Rozieta untuk mengejar cita-cita terlaksana.