UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

KJ ‘join’ JDT kuat kuasa serta-merta

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar dan kenyataan yang dimuat naik di laman sosial milik Tunku Ismail Sultan Ibrahim

PETALING JAYA: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga Penasihat Belia Johor berkuatkuasa serta-merta.

Perkara ini disahkan sendiri oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi hantaran di laman sosial rasminya.

Sebelum ini heboh di media sosial apabila Tunku Ismail memuat naik hantaran di ‘insta story’ peribadinya yang menawarkan jawatan kepada Khairy.

Khairy juga turut membalas hantaran itu yang jika dilihat seakan memberikan bayangan bersetuju dengan tawaran untuk menyertai keluarga JDT.

“Saya telah bertemu dengan Khairy Jamaluddin dan bersetuju untuk melantik beliau sebagai Penasihat Belia Johor dan Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim.

“Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia serta kemajuan bola sepak Johor,” tulis kenyataan di laman sosial rasmi Tunku Ismail.

Dalam kenyataan di Facebook Khairy menulis rasa teruja untuk menyertai kelab JDT FC yang merupakan kelab bola sepak terbesar di Asia Tenggara serta mempamerkan prestasi yang cemerlang pada setiap musim perlawanan.

“Saya akan menyumbangkan sedikit pengalaman yang ada pada saya untuk membantu DYAM Tunku Mahkota Johor dalam visi Tuanku untuk menjadikan JDT FC kelab bolasepak paling unggul di benua Asia.

“Di samping itu, saya juga akan membantu merealisasikan hasrat DYAM Tunku Mahkota Johor dalam memperkasakan belia Bangsa Johor melalui pendidikan, latihan, keusahawanan, kebajikan dan juga memberi perlindungan yang sewajarnya kepada remaja dan kanak-kanak.

“Insya’Allah saya akan membalas kepercayaan ini dengan usaha yang bersungguh-sungguh demi kecemerlangan berterusan JDT FC dan pemerkasaan belia Johor,” ujar beliau dalam laman sosialnya.

Sementara itu, laman rasmi JDT menerusi satu kenyataan juga turut mengucapkan selamat datang kepada Khairy.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim ingin mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada Khairy atas perlantikan beliau sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah kelab selepas diumumkan oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

“JDT juga mengucapkan tahniah kepada Khairy atas perlantikan beliau sebagai Penasihat Belia Johor. Luaskan Kuasamu Johor,” tulis kenyataan media itu.

Pelantikan ini juga pastinya bakal menjadi satu lagi dimensi baharu buat juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu untuk mengharungi musim baharu yang akan bermula pada 24 Februari 2023.