UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

KOMPaS tingkat motivasi, minat pelajar

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok: Program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPaS) dilihat berupaya meningkatkan motivasi dan mendorong minat pelajar untuk meneruskan pelajaran.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, KOMPaS besar maknanya dalam membangunkan komuniti setempat tentang kepentingan pendidikan di negeri Kedah.

Ujarnya, program ini membantu meningkatkan motivasi dengan memberi pendedahan bagi mendorong minat pelajar dengan permainan dan aplikasi yang sesuai serta menjalankan aktiviti menarik bagi meningkatkan kefahaman mereka.

“Jadikan program ini sebagai suntikan semangat untuk menghabiskan pelajaran di sekolah dan datang semula ke UUM sebagai seorang pelajar universiti pada masa akan datang

“Anak-anak Permata KOMPaS, jangan lepaskan peluang anda untuk melanjutkan pengajian. Lihat dan nikmatilah suasana kehidupan di universiti, dan tanamlah keinginan untuk merasai kehidupan seperti ini supaya pada satu hari nanti, anda akan berjaya lanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

“Kemiskinan bukan faktor penghalang untuk berjaya. Tingkatkan usaha dan motivasi diri untuk terus berjaya dalam menimba ilmu. Pendidikan penting dalam mencorakkan masa depan yang lebih baik,” katanya di hadapan guru dan murid-murid Permata KOMPaS di program Jalinan Harapan Permata KOMPaS 2.0 (Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses), Dewan Seminar, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), kelmarin.

Program ini diketuai oleh Prof. Dr. Rosna Awang Hashim, pakar Psikologi Pendidikan UUM. Program ini dibahagikan kepada tiga projek utama iaitu Projek pertama berteraskan pendidikan, diketuai oleh Prof. Dr. Rosna. Projek kedua berteraskan komunikasi, yang diketuai oleh Prof. Dr. Norhafezah Yusof dan projek ketiga berteraskan pengkomputeran, yang diketuai oleh Prof. Madya Noraziah Che Pa.

Dr Mohd Foad berkata, usaha dan perhatian dari semua pihak terutama guru-guru, ibu bapa, komuniti setempat dan bantuan dari semua pihak amatlah diperlukan bagi menjayakan hasrat anak-anak KOMPaS untuk terus berjaya pada masa akan datang.

“Guru-guru sebagai pendidik memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan mereka terus kekal meneruskan pengajian,” ucapnya.

Jelasnya, KOMPaS merupakan sebuah program berimpak kepada komuniti pendidikan khususnya di negeri Kedah yang memfokuskan salah satu isu utama dalam ruang lingkup sektor pendidikan negeri Kedah dalam membantu murid-murid menamatkan pendidikan menengah dengan mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara itu, Ketua Program KOMPaS, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim berkata, program berimpak ini dibiayai oleh Kerajaan Negeri Kedah dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Yayasan Sime Darby. Ketiga-tiga entiti ini merupakan rakan strategik UUM dalam mengangkat agenda akademia untuk pembangunan komuniti.

“Sasaran KOMPaS ialah membantu murid-murid negeri Kedah terutama dari kumpulan sosioekonomi rendah untuk sukses dalam pelajaran, galakan kehadiran ke sekolah sehingga sekurang-kurangnya mereka tamat persekolah dengan memiliki sijil SPM.

“Program KOMPaS dilaksanakan secara konsisten sejak Disember 2020, dengan komitmen tinggi ahli penyelidik yang bergabung tenaga dari tiga bidang kepakaran iaitu pendidikan, komunikasi dan pengkomputeraan.

“KOMPaS bukan sekadar sebuah program penyelidikan tetapi lebih besar sumbangannya dalam memaknai usaha mengangkat darjat insan, mengeluarkan anak-anak dari kepompong kemiskinan kepada masa depan yang lebih gemilang, menyalur kepada pembangunan modal insan dan tenaga kerja masa depan negeri Kedah khususnya,” katanya.