UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Kontinjen UUM raih pingat perak di Karninval Sukan IMT-GT 2023

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Sukan/UUM Today

BANDA ACEH: Kontinjen Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya meraih satu pingat perak di Karnival Sukan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) Kali Ke-22, 2023 di Universitas Syiah Kuala (USK), baru-baru ini.

Pingat perak UUM itu disumbangkan menerusi acara sukan tenis dalam perlawanan akhir dengan Pasukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berkesudahan 0-2.

UUM mara ke peringkat akhir setelah menang 2-0 dengan Universiti Negeri Padang (UNP) di peringkat separuh akhir.

Terdahulu UUM muncul juara peringkat kumpulan setelah mengalahkan Pasukan Universitas Medan (UNIMED) dengan mata 2-1, seterusnya mengalahkan Universiti Prince of Songkhla (PSU) 2-0 sebelum melangkah ke peringkat suku akhir bertemu pasukan tuan rumah USK dan beroleh kemenangan 2-1.

Lain-lain acara yang turut dipertandingkan dalam kejohanan ini adalah bola sepak 6 sebelah, bola tampar wanita, badminton campuran dan petanque campuran.

Selain itu, tumpuan turut diberi juga kepada pemupukan semangat jati diri mahasiswa menerusi pengisian dalam acara kebudayaan dan seminar yang turut menunjangi program IMT-GT ini.

Kepimpinan yang dibentuk hasil daripada seminar dilihat sebagai usaha meneroka dan berkongsi cambahan idea antara mahasiswa dari pelbagai latar belakang budaya dan sosial.

Pengarah Pusat Sukan, Dr. Nasiruddin Haron berkata, beliau melihat Karnival IMT-GT bukan sahaja mampu merapatkan hubungan antara universiti dari tiga buah negara, tetapi tidak mustahil melalui penganjuran seperti ini UUM mampu melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

“Tahniah diucapkan kepada atlet yang telah berjaya menyumbang pingat buat UUM dan terima kasih kepada pegawai-pegawai yang terlibat dalam program Karnival IMT-GT pada kali ini,” katanya lagi.

Turut hadir memberi sokongan pada majlis perasmian adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang juga Presiden IMT-GT.