UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Baru bergraduasi, gaji bulanan sudah RM15,000

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today

SINTOK: Meskipun baru bergraduasi hari ini, Muhammad Ijmal Mohamed Akbar, 25, graduan Sarjana Muda Keusahawanan (Mod 2u2i) Universiti Utara Malaysia (UUM) sudah mampu meraih pendapatan mencecah RM15,000 sebulan.

Beliau yang kini bergelar pembangun laman sesawang (web developer) merupakan graduan kohort pertama untuk program berkenaan di UUM sejak ia diperkenalkan pada 2019, lanjutan dari program asal iaitu Sarjana Muda Keusahawanan.

Muhammad Ijmal berkata, beliau bersyukur kerana dapat mengikuti program pengajian dalam Mod 2u2i tersebut di mana beliau perlu mengikuti kuliah selama dua tahun di kampus dan dua tahun lagi di industri, seterusnya berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Markah Keseluruhan (PMK) 3.87.

Bercerita tentang pengalaman awal berkecimpung dalam bidang keusahawanan, bapa kepada dua cahaya mata ini berkata, beliau mula belajar tentang perniagaan pada cuti semester ketika mengikuti pengajian peringkat diploma di sebuah institusi pengajian tinggi lain sebelum melanjutkan pengajian di UUM.

“Bermula dari situ, saya berminat untuk mendalami bidang tersebut terutamanya dalam e-Dagang dan laman sesawang (website) yang hanya dipelajari dari Youtube.

“Saya asah kemahiran saya perlahan-lahan dan selepas berkahwin di usia 20 tahun, saya bekerja sebagai pereka web dengan gaji permulaan sebanyak RM1,500 sahaja. Dengan kemahiran yang ada ketika itu, saya hanya mampu menyiapkan satu laman sesawang dalam tempoh seminggu sahaja,” katanya.

Selangkah demi selangkah, Muhammad Ijmal mula menghasilkan produk pertama iaitu Divi Xpress yang merupakan panduan mudah untuk membina laman sesawang dan bermula dari situ juga, anak muda ini mula dikenali, malah sering menerima ‘job’ untuk membangunkan ‘website’ di mana beliau mengenakan bayaran sekitar RM2,00 hingga RM3,000.

Menurut anak kepada pasangan Mohamed Akbar Nazardin dan Nasriah Yunos, pada 2022 beliau mula mendapat pekerjaan untuk menjaga dan mengekalkan laman sesawang enam syarikat yang mendapatkan khidmatnya.

“Di situlah saya mula mendapat pendapatan mencecah RM15,000 sebulan, selain berniaga sendiri. Selain itu, saya juga menawarkan kelas percuma kepada mereka yang baru berjinak dan ingin menceburi bidang perniagaan teknologi maklumat (IT) seperti saya.

“Berbekalkan kemahiran dan pengalaman dalam bidang pemasaran e-Dagang, saya telah membantu lebih 400 usahawan membina laman sesawang (website) perniagaan sendiri sejak 2017 dan susulan itu, mereka berjaya mencapai keuntungan jualan mencecah 5 hingga 6 angka dengan hanya melalui laman sesawang terbabit,” ujar anak kelahiran Perlis itu.

Muhammad Ijmal berterima kasih kepada isterinya, Zam Zam Syafurah Samsudin, 28, serta ahli keluarga dan pensyarah UUM yang sentiasa memberi dorongan kepadanya untuk berjaya pada hari ini.

Katanya, mereka telah memberi sokongan di saat dia berdepan cabaran dari segi pengurusan masa yang perlu dibahagi antara keluarga, perniagaan sendiri dan pelajaran.

“Pengalaman mengikuti program dalam Mod 2u2i ni mengajar saya untuk belajar tentang realiti dunia perniagaan, pengurusan ahli pasukan, pelanggan, membina garis panduan dan juga pemasaran.

“Apa yang saya lalui ini tidak dapat dalam pembelajaran kelas. Hal ini menjadikan saya lebih matang dan lebih faham tentang apa yang saya akan jangka pada masa akan datang,” katanya yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana, seterusnya Doktor Falsafah bagi agar impian mendidik generasi akan datang tercapai.

Muhammad Ijmal menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik (Keusahawanan) yang dikurniakan oleh Canselor UUM, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, beliau bangga dengan pencapaian Muhammad Ijmal itu, sekali gus memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memastikan graduan baru lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) memperoleh gaji premium melebihi RM4,000.

Beliau berharap, pencapaian Muhammad Ijmal itu juga akan menjadi inspirasi kepada semua pelajar UUM yang masih belajar mahupun yang baru sahaja tamat pengajian.

Program Sarjana Muda Keusahawanan (Mod 2u2i) Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) yang diperkenalkan di UUM adalah selaras dengan aspirasi universiti dan KPT melalui agenda keusahawanan negara dan ke arah negara berpendapatan tinggi.

Objektif program ini adalah untuk melahirkan graduan keusahawanan yang bakal memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, seterusnya membantu membangunkan ekonomi negara.

Untuk rekod, sehingga kini UUM telah membuat pengambilan sehingga kohort 4 dengan bilangan pelajar keseluruhan adalah seramai 101 pelajar termasuk 11 graduan dari kohort 1.