UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

KPT komited laksana 17 inisiatif Bajet 2023  

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) komited untuk melaksanakan 17 inisiatif Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, semalam.

Antaranya, kenaikan pemberian kredit e-Pemula, pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua pelajar yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama, kenaikan kadar pinjaman PTPTN dan penyediaan pinjaman komputer untuk kumpulan M40, diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penawaran biasiswa dan pinjaman pendidikan serta penyediaan kemudahan pendidikan buat anak-anak bumiputera.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam, menurut KPT, dengan tema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’, Bajet 2023 mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyokong usaha KPT untuk memacu kesejahteraan pendidikan tinggi, malah KPT menghargai dan menyambut baik Bajet 2023 itu.

KPT juga amat berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan terhadap pembangunan pendidikan tinggi negara melalui peruntukan keseluruhan yang meningkat sebanyak 4.25 peratus berbanding tahun 2022, iaitu RM15.1 bilion yang meliputi RM11.7 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM3.4 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan.

KPT komited membantu kerajaan mencapai hasrat Bajet 2023 dan percaya peruntukan yang diluluskan kepada KPT adalah responsif, bertanggungjawab, serta signifikan kepada bukan sahaja pemegang taruh KPT, malah juga komuniti dan masyarakat, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia, Makmur Bersama.