UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

KPT-PACE tingkat kemahiran dan kukuh kompetensi pelajar akhir UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Dalila Ishak

Gambar Mohamad Asfa Nazhan dan Muhammad Naufal Norasikin @ Mohd Zulhilmi​/UUM Today

SINTOK, 5 Februari – Majlis Penganugerahan Pelajar Program KPT-PACE telah diadakan bagi meraikan pelajar tahun akhir yang mengikuti Program Pensijilan Peningkatan Komunikasi dalam Bahasa Inggeris di Universiti Awam – Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula 4 Disember 2023 sehingga 29 Januari lalu.

Program ini merupakan tajaan sepenuhnya daripada KPT-PACE yang dikendalikan oleh Unit Pembangunan Profesional (PDU), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) yang dilantik oleh Uniutama Education and Consultancy Sdn. Bhd.

Dekan SLCP, Prof. Dr. Shukri Ahmad, program ini merupakan satu inisiatif daripada kerajaan dalam meningkatkan kemahiran dan pengukuhan kompetensi pelajar tahun akhir dan graduan universiti awam di mana seramai 250 pelajar tahun akhir UUM telah didedahkan dengan beberapa topik berkaitan ‘Professional Development, Sustainability Development and Innovation’.

Menurutnya, program ini turut dijadikan satu platform bagi melatih, mengasah dan meningkatkan kemahiran bahasa dalam diri para peserta di mana setiap peserta berpeluang untuk mengetengahkan idea, berbincang dan menggunakan tatabahasa yang tepat selari dengan topik yang dibincangkan.

Sehubungan itu, katanya, diharapkan pengajaran yang dipelajari dapat dijadikan sebagai idea pemudah cara kepada peserta bagi mendepani cabaran bekerja kelak.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya menamatkan Program Pensijilan Peningkatan Komunikasi dalam Bahasa Inggeris di Universiti Awam ini  dan terima kasih untuk komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat.

“Pelajar bukan sahaja perlu bekerja keras dan hanya perlu fokus kepada pelajaran, tetapi setiap pelajar perlu mempunyai sikap disiplin, di samping menjadi kreatif dan mempunyai daya tahan yang tinggi dalam membentuk jati diri dan mencapai kejayaan,” katanya.

Hadir sama, Pengurus Besar Uniutama Education and Consultancy Sdn. Bhd., Dr. Mohd. Herry Mohd. Nasir; Timbalan Dekan (Akademik) SLCP, Dr. Maizatul Azura Yahya; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) SLCP, Dr.Nor Azlah Sham Rambely; Ketua Unit Bahasa Inggeris, Dr. Yusniza Mohd Yusoff; Pengurus PDU/ Ketua Projek KPT-PACE, Dr. Noor Asbahan Shahizan, Task Force KPT-PACE, tenaga pengajar dan pelajar.