UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Kuasa Mutlak Kepada Raja Berperlembagaan: Mentaktifkan Peranan YDPA Dalam Kepimpinan Hari ini.

Azlina Kamaruddin

Azlina Kamaruddin

Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin adalah Timbalan Pengarah di IPDM UUM.

Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) telah mengadakan wacananya yang pertama pada 13 Februari baru-baru ini. Wacana IPDM Siri 1/2024 telah disiarkan menerusi saluran webinar webex dan Facebook live.

Wacana IPDM ini merupakan wadah bagi membincangkan isu-isu yang semasa yang berkaitan dengan negara baik daripada segi politik, pentadbiran dan kepimpinan, pemikiran barisan Perdana Menteri dan tokoh-tokoh ulung, kedaulatan dan keselamatan negara, pembangunan, ekonomi dan sebagainya.

Wacana ini merupakan siri pertama pada tahun 2024 ini yang dikemudikan oleh Felo Penyelidik IPDM, Prof. Dr. Munif Zarirruddin Fikri Nordin selaku moderator.

Wacana IPDM yang menampilkan pembicara hebat iaitu Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain yang kini bertugas di ISTAC-IIUM dan terkenal sebagai pengasas perundangan watan. Beliau berjaya memenangi enam Anugerah Buku Negara sejak tahun 2018 dalam kategori undang-undang perlembagaan, kenegaraan dan sosio-budaya.

Terakhir ialah Anugerah Perdana Buku Negara 2022 dalam kategori Penulis Buku Ilmiah Diraja melalui buku berjudul Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan.  Kini berjawatan tetap sebagai Profesor Madya di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan dipinjamkan ke Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau banyak menghasilkan penulisan serta terlibat aktif sebagai pakar perunding dalam pelbagai jawatankuasa di peringkat kementerian, badan berkanun dan diiktiraf sebagai pengasas jurisprudens watan oleh World Philosophical Forum.

Atas jasa cemerlang buat negara, Wan Ahmad Fauzi dianugerahkan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) pada tahun 2010. Kurniaan lain yang diterima ialah Darjah Dato’ Paduka Negeri Sembilan (DPNS) dan Darjah Setia Mahkota Terengganu (SMT). 

Perbincangan dimulakan dengan menelusuri konsep beraja ketika zaman sebelum kedatangan Islam, dan ketika dominasi pengaruh Buddha dan Hindu. Kemudian konsep beraja ini  telah didasarkan dengan agama Islam sebagai paksi kuasa mutlak adalah pada Tuhan (Allah swt), tetapi raja itu mestilah menjalankan amanah dengan lingkungan ajaran Islam.

Sistem politik tradisional Melayu sebenarnya sudah mempunyai tiga cabang kuasa, iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman. Struktur pemerintahannya dipengaruhi adat Melayu mendaulatkan Islam sebagai undang-undang negeri melalui prerogative diraja.

Kedaulatan Raja-raja Melayu pada hari ini dipusakai daripada Kesultanan Melayu Melaka yang berteraskan ajaran Islam dan ia tidak pernah terungkai. Justeru, kedaulatan bersumberkan Islam merupakan kaedah pentafsiran paling sahih kedaulatan watan.

Melalui pentafsiran tersebut, ia dapat menghuraikan kedudukan sebenar kedaulatan Raja-raja Melayu, prinsip kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong dan pemakaian undang-undang dalam kerangka prinsip keluhuran perlembagaan. Pentafsiran sedemikian mengharmonikan antara kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong dan kedudukan undang-undang Islam dengan peruntukan-peruntukan lain Perlembagaan Persekutuan.

Kesimpulan daripada perbincangan adalah pertama, Institusi Yang di-Pertuan Agong khususnya dan Institusi Raja-raja umumnya merupakan asas yang diperlukan untuk memenuhi Prinsip Rukun Negara yang dikeluarkan pada tahun 1970 selepas berlakunya insiden 13 Mei 1969, demi untuk membentuk perpaduan yang kukuh dan utuh dalam memastikan perpaduan negara menjadi tonggak utama.

Kedua, Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa pengimbang atau kuasa pengawal kepada tiga bidang kuasa pentadbiran. Ketiga, Yang di-Pertuan Agong adalah pelindung rakyat yang terdiri daripada pelbagai etnik, bangsa dan agama. Keempat, Yang di-Pertuan Agong adalah lambang inspirasi pembangunan lestari. Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat yang maksimum kepada para pendengar semua.