UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Kursus Mega Umrah UUM bekal ilmu jalankan umrah

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Berita dan gambar Muhammad Syazwan Menon/UUM Today

SINTOK, 29 Januari – Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menganjurkan Kursus Mega Umrah Cuti Sekolah Bersama Pusat Islam, UUM bertempat di Dewan Seminar Kompleks Pusat Islam UUM pada 20 Januari lalu.

Kursus yang dianjurkan khusus untuk tetamu Allah SWT dari sekitar daerah Kubang Pasu yang bakal mengerjakan umrah pada Februari 2024 ini diadakan bertujuan membekalkan ilmu dan cara mengerjakan umrah secara sempurna dan bertepatan dengan tuntutan Rasulullah SAW.

Kursus yang dianjurkan dengan kerjasama syarikat pengendali umrah, Alrohmah Tours & Services Sdn. Bhd ini dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Penolong Pegawai Tadbir, Sharif Abdus Salam Sharif Saad selaku Imam Masjid Sultan Badlishah UUM.

Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie berkata, program yang diadakan ini bertujuan untuk memberi pendedahan ilmiah mengenai falsafah, hikmah dan matlamat mengerjakan ibadah umrah.

Menurutnya, kursus yang dihadiri lebih kurang 100 peserta berjalan lancar dengan perkongsian kaedah pelaksanana umrah, peringatan tentang barang-barang keperluan di Mekah dan Madinah.

“Selain itu, kursus ini juga disajikan dengan amali tawaf menggunakan replika bangunan/binaan Ka’abah yang disediakan oleh pihak Masjid Ibnu Sina, Kg. Tradisi, Changlun,” katanya.

Kursus diteruskan dengan pengenalan Mutawwif Umrah Syarikat Alrohmah Tours & Services Sdn. Bhd oleh Wan Iskandar Azam serta Taklimat Pengurusan & Perjalanan Ibadah Umrah oleh Wan Affandi Azam kepada bakal jemaah Program Umrah Cuti Sekolah Bersama Pusat Islam yang akan bertolak mengerjakan Umrah pada 7 hingga 17 Februari 2024.

Peserta, Bahrin Zainon menzahirkan kesyukurannya atas peluang yang diberikan Pusat Islam dan ilmu yang diperolehinya sepanjang kursus ini membolehkan beliau dan keluarga membuat persiapan mengerjakan umrah nanti dengan betul dan sempurna.

Katanya, dengan menghadiri kursus ini mereka sekeluarga memperoleh ilmu tentang hukum hakam dan pantang larang yang perlu dijaga sepanjang perjalanan umrah serta keberadaan mereka di Tanah Suci Haramain (Mekah dan Madinah) nanti.

Kursus diakhiri dengan serahan dua unit beg bagasi, satu unit beg sandang dan satu unit beg kasut kepada jemaah umrah Cuti Sekolah Bersama Pusat Islam UUM.