UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Landasan kereta api Hatyai-Padang Besar dibom

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Ihsan Pembaca

Padang Besar: Perkhidmatan kereta api State Railway of Thailand (SRT) dari Hatyai ke Padang Besar, Malaysia tergendala selepas landasannya dibom berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngek, di Sadao, Thailand, hari ini.

Menurut sumber,  kejadian berlaku sekitar jam 2 petang ketika sebuah kereta api kargo dari Haytai ke Padang Besar tergelincir selepas landasan yang dilalui dipercayai dipasang bom berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngae.

Gerabak kereta api kargo SRT dalam perjalanan dari Hatyai ke Padang Besar tergelincir selepas landasan berhampiran Stesen Kereta Api Khlong Ngae, Sadao, Thailand dibom, petang tadi. Gambar Ihsan Pembaca

Letupan itu menyebabkan gerabak kereta api berkenaan terbabas dan melumpuhkan perkhidmatan kereta api dari sektor berkenaan ke Padang Besar.

Stesen Kereta Api Khlong Ngae, Sadao terletak 23.3 kilometer dari Stesen Kereta Api Padang Besar, Malaysia di sempadan Malaysia-Thailand.

Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian berkenaan dan perkhidmatan kereta api SRT dihentikan buat sementara waktu.

Sementara itu, Bangkok Post melaporkan pihak berkuasa akan menyiasat kejadian tersebut sama ada landasan tersebut dibom atau kejadian kemalangan.

Sumber memaklumkan bahawa landasan itu perlu ditutup beberapa hari bagi membolehkan kerja-kerja membaiki dilakukan.

Kereta api berkenaan mempunyai 20 gerabak yang mana 11 daripadanya tergelincir daripada landasan dan rosak teruk.

Empat pekerja termasuk dua pemandu dan seorang juruteknik tidak mengalami sebarang kecederaan.