UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Lantikan dan struktur baharu pacu universiti ke hadapan

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok – Pelantikan dan struktur baharu Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi satu paradigma baru ke arah pemacuan universiti ke hadapan yang lebih baik dan tersusun.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, seramai 228 penjawat menerima watikah bagi menjalankan amanah dalam memastikan UUM sentiasa gemilang melakar kejayaan.

“Dengan pelantikan fasa kedua ini maka lengkaplah struktur organisasi UUM dan tibalah masanya untuk kita melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin untuk memastikan UUM bergerak pantas dan cemerlang,” ujarnya.

Jelasnya, untuk tahun 2024, UUM telah membentuk struktur organisasinya yang sah setelah diperakukan oleh Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) pada 20 Disember 2023.

“Kali terakhir struktur organisasi UUM yang diperakui oleh LPU adalah pada tahun 2013. Justeru, saya berharap dengan struktur baharu ini akan memacu universiti ke hadapan yang lebih baik dan tersusun.

“Terdapat 13 pusat tanggungjawab yang dijenamakan semula manakala dua jabatan baru yang diwujudkan iaitu Pusat Zakat dan Wakaf serta Pusat Keusahawanan Siswa,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Penjawat UUM 2024, Sesi Kedua yang berlangsung di EDC-UUM, semalam.

Pusat tanggungjawab yang dijenamakan semula antaranya Bahagian Pembangunan & Kecemerlangan Akademik (AEDU) kepada Pusat Perancangan Dasar Dan Kecemerlangan Akademik (CAEP), Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi (RIMC) Kepada Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC).

Manakala Institut Penyelidikan Pengurusan & Perniagaan (IMBRE) kepada Pusat Kajian Kes Pengurusan Dan Kepimpinan Serta Jabatan Pembangunan Dan Penyenggaraan (JPP) kepada Jabatan Pembangunan Dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI).

Beliau mengajak semua warga UUM, khususnya pemegang jawatan untuk bekerja dalam ekosistem yang harmoni, tidak bekerja secara sailo dan bekerja mengikut keutamaan berdasarkan kaedah Time Management Marix.  

Selain itu katanya, beberapa pelan tindakan yang digariskan misalnya, untuk strategi mencapai keunggulan global, kita berperanan untuk mempertingkatkan keterlihatan UUM di peringkat nasional dan antarabangsa termasuklah memastikan kedudukan UUM dalam SETARA, MYMOHES dan MYRA dalam kedudukan lima bintang.

“Manakala di peringkat antarabangsa, kita berusaha ke arah mendapat Triple Crown akreditasi iaitu AACSB, AMBA dan   E-QUIS selain berusaha mendapat kedudukan Nombor Satu dalam Top Business School di Malaysia

“Bagi strategi mentransformasi sistem pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan bakat kalis masa depan, 17 program ODL (open and Distance learning) akan mula ditawarkan pada tahun 2024 selain kursus microcredential dan penawaran MOOC (Massive Open Online Course).

“Untuk memastikan kemampanan kewangan, kita akan pertingkatkan lagi sumbangan zakat/wakaf/endowment. Kita menyasarkan sebanyak RM10 juta untuk endowmen baru pada tahun 2024 dan berharap penjawat membantu universiti mencapai hasrat ini,” tambahnya.

Pada majlis itu, Dr. Azahar Kasim yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat mendahului senarai penerima memimpin bacaan ikrar.