UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Lapan staf naik pangkat

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok: Lapan staf Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kenaikan pangkat pada Majlis Penyerahan Watikah Kenaikan Pangkat Jawatan Profesor dan Bendahari, yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, pagi tadi.  

Daripada jumlah itu, tujuh staf akademik dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C (VK7) antaranya Prof. Dr. Shri Dewi A/P Applanaidu dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB)  sekali gus membawa gelaran profesor.

Ia diikuti oleh Prof. Dr. Siti Hadijah Che Mat dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Prof. Dr. Zainal Amin Ayub dari Pusat Pengajian Undang-Undang, Prof. Dr. Azman Yasin dari Pusat Pengajian Pengkomputeran.

Manakala, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab dari Pusat Pengajian Undang-Undang, Prof. Dr. Norlena Hasnan dari UUM Kuala Lumpur dan Prof. Dr. Zaleha Othman dari Othman Yeob Abdullah Graduate Schools of Business.

Dalam masa sama, majlis turut menyaksikan penyerahan watikah kenaikan pangkat ke jawatan Bendahari Gred Khas C (VU7) kepada Abdul Roni Baharom.   

Penerima watikah, Prof. Dr. Siti Hadijah menzahirkan kesyukuran di atas nikmat kurniaan daripada Allah yang mengandungi amanah dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, impian menjadi kenyataan, saya akan teruskan perjuangan sebagai pensyarah malah dengan anugerah ini saya menjadi lebih bersemangat, bermotivasi dan berusaha untuk terus maju membangunkan universiti.

“Apabila menerima pangkat ini saya merasakan telah dimiliki oleh masyarakat maksudnya khidmat dan bakti bukan lagi untuk diri sendiri tetapi lebih kepada UUM dan masyarakat,” katanya.

Dengan berlatarbelakang dalam penulisan dan kajian di bidang kemiskinan beliau merasakan jiwanya amat dekat dengan masyarakat dan sedia berkhidmat.

Kini beliau terlibat menjayakan projek khidmat komuniti yang dinamakan Projek Kambing Untuk Rakyat (PROKar) dalam usaha melahirkan usahawan ternak kambing di sekitar Kodiang, Kedah.

Pada majlis itu, Naib Canselor Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan menyampaikan watikah kenaikan pangkat yang turut dihadiri Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua penerima untuk terus meningkatkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing ke arah menjadi universiti pengurusan terkemuka.