UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Lawatan ke SAPSP imbau nostalgia Naib Canselor

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK: Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Pepatah ini sesuai bagi lawatan Naib Canselor, Prof Dr. Mohd Foad Sakdan ke Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), hari ini.

Di sinilah tempat beliau memulakan tugas sebagai pensyarah UUM sebelum mengorak langkah menuju ke puncak sehingga bergelar Naib Canselor.

Lawatan ke SAPSP ini merupakan salah satu rangka lawatan beliau untuk meninjau perkembangan pusat pengajian, di samping mengadakan perbincangan dengan pihak penjawat berkaitan keperluan semasa pusat pengajian.

Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Md Zawawi Abu Bakar bersama barisan penjawat telah memberikan taklimat kepada Naib Canselor mengenai pencapaian dan hala tuju pusat pengajian.

Semasa sesi maklum balas, Mohd Foad berkongsi hasrat beliau untuk melihat SAPSP menjadi sumber rujukan serantau dalam pengurusan kerja sosial.

Di samping itu, beliau menggalakkan pusat pengajian untuk mengembangkan jaringan melalui kerjasama dengan agensi kerajaan dan industri.

Beliau juga berharap SAPSP terus aktif dalam menabur bakti untuk komuniti melalui kerja-kerja sukarelawan terutamanya yang melibatkan rakyat negeri Kedah.

Di akhir lawatan beliau sempat menjamu selera bersama rakan-rakan lama sempena Majlis Aidilfitri SAPSP.

Mohd Foad (kiri) melihat bilik pensyarah yang pernah didudukinya semasa di Sekolah Pembangunan Sosial (SPS) yang kini dikenali sebagai SAPSP.

Beliau turut menjenguk bilik yang pernah didiami beliau semasa menjadi pensyarah di Sekolah Pembangunan Sosial (SPS) yang kini dikenali sebagai SAPSP.

Kemudian, Mohd Foad telah menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri di Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG).

Di GSGSG, beliau disambut Dekan, Prof. Dr. Rusdi Omar, seterusnya beramah mesra dan berkenalan dengan warga GSGSG terdiri staf dan pelajar.